A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Friday, August 31, 2012

Kelemahan 'Fine Motor Skills' Akan Menjejaskan Prestasi Anak Autisme Di Sekolah

                       

Berapa ramai dari kita yang faham apa itu fine motor skills (kemahiran motor halus). Bila saya punyai anak autisme, baru saya mengetahui kelemahan kemahiran motor halus yang membelenggu anak-anak autisme boleh menyebabkan  mereka ketinggalan di sekolah. Mereka juga cepat bosan dengan sesuatu aktiviti kerana faktor yang ini. Kemahiran motor halus merupakan pergerakan otot-otot kecil terutamanya koordinasi jari dan penglihatan.


Boleh melakukannya, tapi tidak sama hasilnya
dengan rakan sebaya
                                   
Tahukah kita bahawa anak autisme amat bermasalah untuk melakukan aktiviti menggunting dengan sempurna malahan dari pengalaman saya, Syahmi hingga usianya sekarang (10 tahun) masih belum mahir menggunting kertas dengan baik. Jika dibuatkan garisan lurus di atas sehelai kertas putih sekali pun, dia masih tidak boleh menggunting mengikut garisan yang telah tersedia itu. Hasilnya masih bengkang-bengkok, walau berkali-kali melakukannya.


Mewarna juga aktiviti yang tidak digemarinya

Mewarna juga adalah  aktiviti yang tidak digemarinya. Syahmi amat berminat untuk melakarkan segala yang menjadi minatnya ke dalam bentuk lukisan. Cuma bila diarahkan untuk mewarna, memang dia akan menolak dengan berbagai alasan. Biasanya dia akan mengadu lenguh tangan atau kepenatan. Pertandingan mewarna adalah aktiviti yang jarang disertainya.


Banyak menulis membuatkan dia cepat bosan

Begitu juga jika diarahkan untuk membuat latihan seperti  menulis karangan yang panjang, memang anak-anak autisme lambat atau gagal menyiapkan tugasan jika dibandingkan dengan anak-anak typical. Kalau guru yang tidak mempunyai ilmu pendidikan khas dalam membimbing anak-anak autisme, pasti boleh menimbulkan suasana 'tegang' antara guru dan murid kerana mereka boleh disalah anggap sebagai anak-anak didik yang degil dan sengaja enggan mengikut arahan. Sedangkan masalah yang sebenar adalah disebabkan kelemahan otot-otot tangan mereka untuk 'bekerja' lebih.


Kasut menjadi masalah besar bagi mereka untuk mengikat talinya

Namun masalah kemahiran motor halus ini boleh diatasi dengan kegiatan 'permainan' yang menyeronokkan semenjak di peringkat awal usia kanak-kanak. Maknanya,  perlu dilakukan sebelum mereka mula memegang pensel untuk menulis. Aktiviti 'permainan' yang menyeronokkan ini akan memotivasi kanak-kanak untuk bermain ketika waktu lapang sebagai hobi. Inilah antara contoh-contoh aktiviti yang merangsang kemahiran  motor halus kanak-kanak :

Play Dough
                               
Legos
Nuts And  Bolts

Sorting


Aktiviti Dot to Dot



Aktiviti  'String Along' 
                                 
Membuat Origami mudah 

    
Kesimpulannya, bukan terhad dengan aktiviti yang dicadangkan di atas sahaja. Sebarang aktiviti yang melibatkan jari jemari anak-anak kita untuk 'BEKERJA' juga boleh  diamalkan. Apakata kita suruh anak-anak kita meramas nyiur parut untuk mendapatkan santannya. Tentu enjoy agaknya sambil  menyepahkan hampas nyiur. Yang mengalami masalah sensory pula, tentu tak tergamak untuk melakukannya.......


Idea yang boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan
fine motor skills .....budaya orang kita

                                         

Thursday, August 30, 2012

Berjuang Memerdekakan Diri!

                            Bersempena Hari Ulangtahun Kemerdekaan negara yang ke 55 esok (31hb Ogos 2012), saya bertanya Syahmi apakah makna Merdeka. "Merdeka adalah mengibarkan bendera Jalur Gemilang".  Itulah jawapan mudah darinya. Apalah sangat kefahaman seorang anak yang baru berusia 10 tahun tentang pengertian Hari Kemerdekaan yang sebenarnya.


Bangga  menjadi anak Malaysia
                         


                                  Hari ini Khamis 30hb Ogos 2012, Sek Keb Seri Budiman II mengadakan sambutan berkembar 'Merdekaraya' bersempena Hariraya Aidil Fitri dan Hari Kemerdekaan yang jatuh pada bulan Ogos. Seluruh warga SKSB II akan berbaju kebangsaan bagi merealisasikan semangat menyambut kedua-dua acara penting ini. Biarlah dengan adanya acara-acara seperti ini dapat mengeratkan sillaturrahim antara pendidik dengan murid keseluruhannya. Selepas ni demam  peperiksaan bermula.....jadi kerjasama antara guru dan murid harus dilipatgandakan.

                     
Di sebelah pagi ........warga sekolah berhimpun untuk
menyambut Hari Kemerdekaan


   
Masa untuk menyambut Syawal bersama-sama rakan dan guru-guru.....


Bersama Guru Penolong Kanan Pendidikan
Khas SKSB II , Pn Dazita
Bersama Cikgu Rosma yang menjadi pendidiknya
semasa di Pra Pendidikan Khas


Siapa tahu.....perjuangan kamu untuk memerdekakan
diri dari Autisme

                                      Kita masing-masing ada cara tersendiri untuk menghayati erti 'kemerdekaan' yang sebenarnya. Bagi Syahmi dan anak-anak autisme yang lain semestinya perjuangan mereka adalah untuk memerdekakan diri dari belenggu autisme. Walaupun nampak mustahil.....namun kuasa Allah tiada siapa  boleh mengatasinya.

                                      Semoga masyarakat kita lebih memahami mereka seadanya. Bukan memohon simpati, cuma perjuangan anak-anak autisme bukan perjuangan individu sahaja tapi sokongan orang di sekeliling amat besar ertinya. Sekurang-kurangnya jadilah penyokong yang membina, bukan sokong pula membawa rebah.....

                             


Saturday, August 25, 2012

Terpaksa ditelan walaupun pahit.....

             
                                   Bila tiba musim perayaan, amalan kunjung mengunjung menjadi agenda utama. Saudara yang terdekat mahupun sahabat handai dikunjungi, bertujuan untuk mengeratkan ikatan sillaturrahim sesama kita. Bagi yang beranak-pinak, terutamanya yang beranak kecil semestinya ibubapa tak boleh leka untuk memastikan anak-anak kita berperilaku baik terutamanya di depan khalayak.

                                   Jika kita mempunyai anak typical, biasanya ibubapa lebih berkeyakinan bila berhadapan di khalayak ramai. Tapi bila anak-anak istimewa hendak dibawa berhadapan dengan masyarakat, memang ada kegusaran di pihak ibubapa.


Berapa ramai mereka di luar sana yang cuba memahaminya?


                                  Bukan ibubapa sengaja menafikan hak bersosial anak istimewa masing-masing, tapi kebiasaannya masyarakat tidak dapat menerima atau kurang faham dengan kelainan yang ada pada anak istimewa kita. Kalau yang cacat di kaki, tangan, mata atau bahagian-bahagian anggota badan yang lain, mungkin mereka di luar sana akan berasa belas kasihan atau simpati kerana kekurangannya nampak di mata.  Tapi jika melibatkan anak-anak istimewa bermasalah tingkahlaku seperti anak-anak autisme, memang sukar untuk masyarakat memahaminya.


 Rupa paras yang tiada kurangnya,
tingkahlaku pun 'canteek' .....


                                    Dengan keadaan fizikal yang tiada cacat celanya, tentulah  masyarakat akan menganggap bahawa perilaku anak-anak istimewa ini bukan berpunca dari kekangan semulajadi mereka tapi lebih menyedihkan kesalahan diletakkan di bahu  ibubapa yang salah mengasuh anak-anak hingga terhasilnya 'produk' yang kurang menyenangkan mereka disekeliling.

                                   Ibubapa mana yang boleh menerima celaan dan hinaan terhadap darah daging sendiri, apatah lagi jika ianya datang dari saudara mara yang  terdekat dengan kita. Bagaimana lagi harus diterangkan, apa lagi daya untuk kami jelaskan. Tahukah mereka bahawa kami ibubapa anak autisme ini  sanggup berhabisan tenaga dan wang ringgit untuk membantu perkembangan positif anak kami. Siapa yang kisah?

Menurut kata seorang sahabat,  ibaratkan seperti air dicurahkan  ke daun keladi......
tidak meninggalkan bekas pada zahirnya

                                   Sabarlah duhai hati-hati yang terluka, kuatkan semangat demi anak-anak istimewa kita. Walaupun sukar diterima, pandai-pandailah memujuk hati supaya tidak ambil bekas terhadap celaan orang di sekeliling. Mungkin kekadang hati kita terguris,  berlapang dadalah terhadap mereka. Doakan agar mereka akan diberi hidayah olehNya untuk memahami perjuangan kita.
                                 
                                    Telanlah walau ianya  pahit.......kerana biasanya yang pahit itu menjadi penawar sementara pujian manis bisa membuat kita leka.
                               
                                   

Friday, August 24, 2012

Sederhana Di Hariraya.....



                           Walaupun terpaksa bergegas balik ke Kuala Terengganu pada 2 Syawal, namun 1Syawal  tetap diraikan dengan sederhana tapi meriah. Tiada kata yang dapat diungkapkan, cukup hanya sekadar gambar-gambar kenangan sehari berhariraya di kampung.


Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu mengisytiharkan bahawasanya
 Hariraya Aidil Fitri  jatuh pada hari Ahad 19hb Ogos 2012

Sibuklah si ayah membantu anak-anak berpakaian

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar....


Bersolat di  Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar

Betapa indahnya Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar

Jemputlah datang ke teratak Atok Syahmi.....

Gambar kenangan di pagi raya


Semoga tahun hadapan, kita masih berkesempatan untuk melalui suasana kemenangan ini bersama sanak saudara serta sahabat dan taulan.


SELAMAT HARIRAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN






Thursday, August 23, 2012

Dia Berpuasa penuh sebulan Ramadhan.....


Tahun 2012 merupakan tahun ke dua Syahmi berjaya berpuasa penuh sebulan Ramadhan. Alhamdulillah....kerana Nya jua memberikan anugerah kesihatan yang baik pada Syahmi sepanjang bulan Ramadhan yang lalu walaupun cuaca panas terik dan sekali sekala hujan serta ribut petir.


Ke sekolah seperti biasa, ke kelas KAFA di sebelah petangnya tidak menghalang Syahmi untuk meneruskan ibadah puasa. Sepanjang 29 hari berpuasa, pernah sehari dia mengangkat bendera putih dari meneruskan puasanya dengan excuse ala-ala mufti tak bertauliah. Katanya 'Syahmi dah diwajibkan berbuka puasa ni sebab dah tak larat bagai nak pengsan". Kebetulan hari tu, dia hanya minum air suam ketika bersahur. Melihat dari keadaannya kami tahu dia masih mampu bertahan, lalu dipujuk rayu supaya dapat menamatkan perjuangan untuk hari tersebut. Akhirnya berjaya....


Ternganga mulut keletihan menunggu ibu
 mengambilnya di sekolah
                           
Yang paling menarik, hari ke 29 (terakhir) kita berpuasa dimana Syahmi ke ladang ternakan lembu dan itik Uncle Zaini Abas yang juga sahabat di Autisme Malaysia dimana letaknya hanya kira-kira 7km dari rumah Atok di kampung. Melihatkan aktiviti ternakan lembu dan itik yang jarang-jarang dapat disaksikan secara dekat, maka kami menghabiskan masa di sana beberapa jam. Akhirnya, Syahmi mula penat yang amat sangat........minta berbuka puasa. Nasiblah boleh dipujuk-pujuk sambil melengah-lengahkan masa hingga ke waktu berbuka.


Melihat-lihat ternakan Uncle Zaini Abas......

Beginilah keletihan seorang penternak untuk mendapatkan hasilnya

Ada jugak kerusi empuk buat tetamu kehormat....hehehe

Pengalaman menarik di ladang ternakan disamping menguji kesabaran di hari terakhir umat Islam berpuasa. Syukur alhamdulillah Ramadhan kali ini Syahmi diizinkanNya berpuasa penuh. Walau tiada ganjaran, nampaknya dia telah memahami ertikata puasa yang sebenarnya.

Semoga kita semua masih diberi kesempatan untuk berada di Ramadhan yang akan datang....InshaAllah.
                                 






Tuesday, August 21, 2012

Seketika Beraya Bersama 2 Keluarga Autisme Malaysia di Kuala Kangsar....


                                    Walau sebentar beraya di kampung, rasanya amat berbeza dari tahun-tahun yang lalu. Kalau selalunya dikunjungi sanak saudara yang sepertalian darah, tapi kali ini saya bertemu muka dengan 'adik beradik' yang biasanya hanya bertemu di talian maya Autisme Malaysia Group . Walau berbeza umur namun kami sama dalam satu perkara, kami ibubapa istimewa punyai anak syurga Autisme.


Dari Kiri: Suami Kepada Mayzatt Maisya, Saudara Hasfizal,
 Abang Long Samsul, Syahmi dan  Umar Hasfizal
                       
                           Bagi yang sudi bertandang untuk beraya ke kampung kami di  Kuala Kangsar, terima kasih tak terhingga terutama pada Hasfizal,Marina suami isteri serta keluarganya, Mayzatt Maisya dan suami juga anak-anak. Bersembang bagai telah lama mengenali, agaknya kalau ramai lagi turut serta entah macam mana meriahnya suasana.

Dari Kiri:  Pn Marina Ariff, Pn Mayzatt Maisya, Kak Ani (Isteri Abang Long Samsul)

                                   Kemeriahan yang berbeza dirasa bila dikunjungi oleh sahabat-sahabat seperjuangan dalam mendidik anak autisme. Berkongsi rasa suka dan duka, pemberi dorongan dan penyelamat jika ada di antara kami yang hampir tewas dalam mengharungi cabaran mendidik amanahNya ini.

Syahmi dan Umar serta anak-anak tetamu yang lain
 sedang berkongi minat melayari internet
     
Syahmi dan Umar sedang menonton TV 
                       
                               InsyaAllah.........jika diizinkanNya di lain masa kita jumpa lagi. Apa-apa pun, Pak Long dah jumpa face to face dengan SARAH (anak syurga Mayzatt Maisya) serta UMAR HASFIZAL antara idola autisme di negara kita yang sering berada di TV dan di dada akhbar dengan anugerah suara yang istimewa.....menyanyi, mengaji semua di genggamannya.

                               Semoga tetamu istimewa kami kali ini , Sarah dan Umar menjadi anak-anak yang membanggakan ibubapa masing-masing.....Ameen.

Thursday, August 16, 2012

Selamat Hari Raya Aidil Fitri ......Maaf Zahir Dan Batin

       

Ingatan tulus ikhlas dari kami sekeluarga


                          1 Syawal makin menghampiri......rasanya kesibukan di kampung nanti mungkin tak mengizinkan saya untuk update sebarang coretan buat beberapa ketika untuk pengunjung laman ini.

                          Oleh itu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya serta maaf zahir dan batin kepada seluruh umat Islam atas kemenangan kita di tahun ini. Terima kasih jua bagi yang setia menjenguk ke Autisme - A Gift From Heaven semoga ceria selalu di pagi Syawal yang mulia.



Cantik di pandang, sedap dimakan......silakan.....silakan











Wednesday, August 15, 2012

Bukan senang nak buat lemang!



Bukan senang nak buat lemang, kena rajin dan sabar untuk menghasilkan lemang yang betul-betul sedap, lembut dan lemak rasanya. Sama-sama kita saksikan bagaimana orang kita menyediakan lemang sebagai juadah utama di hariraya. Tidak hairanlah kalau harganya mencecah RM12 sebatang, memang berbaloi....


Proses mengalas buluh memerlukan kemahiran....

Buluh yang telah dialas dengan daun pisang (muda)
           
Kelapa yang tidak terlalu tua untuk diperah santannya

Beras pulut yang telah dicuci dan ditoskan sebelum dimasukkan
 ke dalam buluh hingga hampir penuh

Menuang santan yang dicampur garam
secukup rasa ke dalam buluh

Proses membakar bermula

Separuh masak

Hampir masak

Siap dimasak

Dipotong-potong menunggu teman baiknya....rendang


Tanpa rendang, lemang tiada makna......


Bertemu jua akhirnya......lemang dan rendang


Kata Opah di kampung terdapat beberapa tips yang harus dipraktikkan untuk mendapatkan lemang yang sedap serta menarik rupanya. Antaranya ialah:

                  1. Untuk menampakkan daun pisang yang bertukar ke kuning keemasan warnanya apabila    lemang telah masak, maka pilihlah daun muda pisang abu, pisang awak dan lain-lain lagi. Daun pisang hutan akan menyebabkan warna daunnya bertukar gelap bila lemang masak. Tidak menjejaskan rasanya, cuma tidak cantik dipandang.

                  2. Buluh lemang yang digunakan haruslah tidak terlalu tebal kerana dikhuatiri lemang lambat/tidak masak, dan jangan pula terlalu nipis kerana ditakuti terbelah/pecah semasa proses pembakaran. Buluh tersebut juga haruslah beruas panjang dan tidak terlalu muda juga tidak terlalu tua.
         
                  3.  Ketika memasukkan beras pulut ke dalam buluh yang telah beralas dengan daun muda pisang, jangan dihentak-hentak buluh tersebut untuk mengemaskan kandungannya. Biarkan kandungan beras pulut di dalamnya tidak terlalu padat.

                  4.  Setelah santan kelapa dituang ke dalam buluh yang berisi beras pulut, biarkan beberapa ketika supaya ia menjadi sebati sebelum api dinyalakan.

                  5.  Ketika proses pembakaran, seseorang harus betul-betul bertanggungjawab untuk mengawal api yang sesuai serta memusing-musing tiap-tiap ruas buluh mengikut kesesuaian keadaan supaya lemang tidak hangus sambil  menghentak perlahan ruas lemang tersebut agar ia menjadi padat. Biasanya proses ini memakan masa selama 3 jam, berpeluh satu badan, hanya yang pakar saja boleh menggalas tugas ini.


Memang betullah apa yang dikatakan 'bukan senang nak buat lemang'.....
                     

                                     

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...