A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Monday, March 31, 2014

Autism Awareness....



Selamat datang 2hb April.....Autisme Awareness


              Tiada yang lebih membantu bagi kami ibubapa yang dikurniakan anak autisme selain dari pengertian masyarakat sekeliling terhadap anak syurga kami. Mereka dalam pelbagai keadaan,  namun kebanyakan mereka kelihatan seperti anak-anak normal yang lain.


               Semoga kesedaran autisme bertambah baik di kalangan masyarakat kita. Peningkatan kes anak-anak yang dilaporkan mengalami simptom-simptom autisme makin meresahkan ibubapa. Semoga masyarakat dapat didedahkan tentang autisme agar kehadiran golongan istimewa ini dapat dibantu sejak awal lagi.


               Selamat berjuang ibubapa kepada insan istimewa ini dalam menyemarakkan lagi kesedaran autisme di kalangan masyarakat.  Tiap 2hb April ......Autism Awareness disambut di seluruh dunia dengan bertemakan warna biru......


                                                         EARLY INTERVENTION SHAPE FUTURE
             
                

Friday, March 14, 2014

Doa Buat MH370.....



Lokasi : Pantai Kuala Ibai, Kuala Terengganu (14hb March 2014 -  2.10pm)


                   Negara dikejutkan dengan misteri kehilangan MH370,  pesawat yang dikatakan paling selamat di dunia.  Namun takdir Allah tiada yang mampu mengatasinya. Beberapa hari berlalu masih menjadi tanda tanya bukan sahaja kita di Malaysia, malahan seluruh dunia menumpukan perhatian ke negara kita.


                    Ketika dalam keadaan sukar sebegini, menjadi tanggungjawab kita sebagai warganegara Malaysia untuk mempertahankan maruah negara di mata dunia. Bukannya mengeruhkan suasana. Kita boleh berbeza pendapat sesama kita, tapi apabila melibatkan maruah negara maka bersatulah semua.


                    Bagaimana dengan Syahmi, peminat (No 1 airplane) bila mengetahui misteri kehilangan pesawat MH370?  Gundah, gelisah, kesal lagaknya seolah-olah dia CEO MAS....hihi.  Secara tidak langsung, baru kita tahu bahawa pengetahuannya membabitkan MAS amat luas dibandingkan dengan usianya. Dia menyebut satu persatu kejadian kemalangan yang menimpa pesawat MAS terutamanya peristiwa Tanjung Kupang. Ceritanya, seolah-olah dia telah lahir semasa kejadian tahun 1977 itu. Inilah ciri-ciri autisme, bila obsess dengan sesuatu, mereka akan memfokus kepadanya 100%.


Walau hanya dari celah-celah jaring kawat...Syahmi tetap
setia mengambil gambar pesawat ini

                    Sebenarnya, Syahmi pengumpul airplane model MAS. Berpuluh-puluh model dikumpulkannya tanpa jemu. Sangat minat bermain games simulator pesawat. Sering ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk merakamkan pergerakan pesawat, samada yang hendak mendarat mahupun yang hendak berlepas.

             
                    Sebagai ibubapanya, nasihat saya padanya.....Doakanlah agar MH370 selamat kembali mendarat ke tanahair bersama penumpang dan anak kapalnya....aamiin. Semoga Dia yang di atas sana mendengar serta memakbulkan doa kita semua.
                   





               

                 

Friday, March 7, 2014

Rakan Yang Memahami....



Rakan-rakan.....


                    Bertahun di aliran perdana, rakan-rakan ramai yang mengelakkan diri darinya. Bukan benci, bukan menghina, tapi kerana mereka berasa janggal dan pelik dengan perilaku si anak yang berbeza dari rakan yang lain. Malahan, yang mengambil kesempatan untuk membuli pun ada.



Syahmi dan Amin....


                    Namun setelah 5 tahun berlalu, baru kini saya nampak si anak mampu menyesuaikan diri dengan rakan-rakannya. Baru kini saya melihat si anak bersama-sama rakannya makan di kantin sekolah. Baru kini juga menampakkan muka cerianya turun dari kelas sambil berbual-bual mesra dengan rakan-rakan yang lain. Agaknya baru kini si anak boleh menyesuaikan tajuk perbualan seperti mana rakan-rakan yang tipikal.



Syahmi dan Uwais....antara rakan yang paling menonjol
kehebatannya. Uwais anak yang bijak ....                   

                    Kalau dulu,  si anak hanya terperuk sendirian di tempat duduknya di kelas. Kadang-kala tertidur hingga terpaksa dikejutkan walau ketika guru mengajar. Kalau dulu juga, si anak akan menyusup ke bawah meja jika terjadinya sesuatu yang kurang disenanginya. Sekarang tidak lagi. Si anak telah boleh mengadaptasi apa yang dilihat di persekitarannya untuk menjadi ikutannya.


                    Inilah antara kelebihan anak autisme yang diletakkan bersama-sama anak tipikal. Mereka mudah belajar dari apa yang dilihat jika dibandingkan dengan pembelajaran secara teori sahaja. Namun, pastikan kita betul-betul memantau rakan-rakan disekelilingnya, kerana ditakuti ada yang cuba memberikan elemen-elemen yang kurang baik seperti mengeluarkan kata-kata kurang enak didengar seperti penggunaan bahasa lucah dan sebagainya.

                 
Syahmi bersama Mustakim.......
           

                     Baru-baru ini anak saya ke sekolah tanpa alat tulis kerana si anak tertinggal 'kotak kalam' di rumah. Alhamdulillah....rakannya yang duduk bersebelahan, Irfan telah sudi meminjamkan penselnya disamping berkongsi pembaris, pemadam dengan rakannya yang istimewa ini. Terima kasih Irfan....Sebenarnya saya memang nampak keserasian Irfan dengan anak saya sejak dari dulu lagi. Irfan memang budak baik yang berbudi pekerti mulia.



Dari Kiri : Syahmi, Amin, Irfan.....


                    Semoga ramai lagi insan yang berjiwa seperti Irfan, Amin, Uwais, Mustakim dan lainnya. Menerima rakan istimewa seperti anak saya dengan seadanya. Tahun depan Syahmi akan menyambung persekolahan ke peringkat menengah. Rakan-rakan yang ada kini akan berpecah membawa haluan masing-masing. Mungkin bagi yang memperolehi keputusan cemerlang UPSR, akan berada di sekolah berasrama penuh. Yang pasti rakan baru pula akan ditemui.


                   Semoga perjalanan kamu seterusnya dipermudahkan-Nya....aamiin

Tuesday, March 4, 2014

Majlis Kenduri Sambut Menantu Di Kampung - Kuala Kangsar, Perak


Panas terik ditempuhi sepanjang perjalanan balik dari Kuala Terengganu ke kampung di Kuala Kangsar. Kiri dan kanan jalanraya merentasi negeri Terengganu, Kelantan dan Perak sepanjang 370km benar-benar panas dan kering dengan rumput-rampai yang kekuningan. Terdapat juga bekasan rumput dan pokok-pokok telah menjadi arang kerana terbakar manakala kawasan tertentu ada yang masih berasap menandakan kebakaran masih belum reda.


Lokasi : Kpg Guntong Luar, Setiu, Terengganu . Musim panas dan kering begini,
siapa yang tidak teringin untuk berendam?

Sesekali melalui sungai-sungai yang bersih lagi jernih airnya, menimbulkan keinginan untuk berendam bagi menyejukkankan badan. Namun masa yang singkat menyebabkan kami terkejar-kejar merebut masa untuk sampai ke destinasi memandangkan majlis diadakan bukan musim cuti sekolah. Majlis perkahwinan anak saudara, Kamal & Hanis diadakan di kampung pada 1hb Mac 2014 bertujuan untuk memudahkan sanak saudara bertemu samada yang jauh mahupun yang dekat.


Suasana di kampung kembali ceria.....

Hiasan majlis perkahwinan  yang menyerikan suasana....

Pelbagai acara diadakan termasuk majlis doa selamat, marhaban, acara berendui, majlis cukur rambut cicit-cicit Allahyarham Tok Yan, menjadikan majlis tersebut bertambah meriah.


Majlis Berendui dengan diringi kumpulan Marhaban (cicit-cicit yang dijadualkan untuk berbuai
belum bersedia lagi semasa gambar ini diambil)


Majlis Cukur Rambut Cicit Arwah Tok Yan

Tidak lengkap rasanya jika tidak dijemput anak-anak tahfiz sekolah agama yang berdekatan untuk sama-sama membaca Yassin dan doa selamat disamping menjamu selera. Yang pergi tidak dilupakan, semoga roh mereka dicucuri rahmat-Nya...aamiin.


Tetamu istimewa anak-anak tahfiz dari sekolah berdekatan...

Pengantin tiba dengan bertandu, bagi mewujudkan kelainan disamping mengembalikan sejarah lampau orang kita. Senyum lebar si pengantin diusung tinggi. Namun di hati keduanya siapa yang tahu, mungkin rasa gayat tetap menguji. Yang mengusung diberikan tugas kepada sepupu si pengantin lelaki untuk membuktikan semangat  setiakawan mereka yang dipupuk semenjak dari kecil. Muafakat membawa berkat....akhirnya pasangan pengantin selamat mendarat....alhamdulillah.


Pengantin tiba dengan bertandu (diusung)...
                 
Yang diusung tersenyum lebar, yang mengusung senyum dalam tangisan....beratttt

Ahli baru dalam keluarga kami.....Hanis Amirah

Selamat Pengantin Baru Kamal & Hanis.....semoga bahagia hingga ke jannah

Bermukim sekian lama di Kuala Terengganu menyebabkan kami banyak terlepas dari menyertai acara-acara keraian sebegini di kampung. Jarak yang dianggarkan kira-kira 370km dari Kuala Terengganu ke Kuala Kangsar melalui jalanraya biasa, bukan perjalanan  mudah kerana  memerlukan perancangan terbaik seperti penyelenggaraan kenderaan, cuti, persekolahan anak-anak dan yang terpenting kewangan yang stabil.


Tidak lupa juga bercerita tentang si anak istimewa saya yang gembira apabila berada di kampung. Syahmi juga turut menyumbang tenaga terhadap majlis ini walaupun hanya sekelumit. Syahmi membantu mengisi telur-telur juga gula-gula ke dalam bekas-bekas cenderahati. Bukan mudah untuk memfokuskannya dalam melaksanakan sesuatu tugasan....tahniah Syahmi!


Sibuk nampaknya Syahmi menghadap sedulang gula-gula juga berpapan-papan telur
yang siap direbus untuk diagihkan ke dalam bekas-bekas cenderahati....

Alhamdulillah....akhirnya majlis usai dengan meriahnya. Kami bertolak balik ke Kuala Terengganu keesokkan paginya. Rasa rindu terubat jua walau pertemuan hanya seketika. Cuma hati merintih meninggalkan ibu yang telah uzur di kampung.....Makkkkk juga kenangan bersama arwah Apak yang telah pergi meninggalkan kami kira-kira 8 bulan yang lalu.....Al fatihah          


Makkk.....
 
Pusara mu ayahanda (Apak)....Al Fatihah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...