1:59 PM
|
Selamat Hari Lahir.... |
Bagaimana hati tak tersentuh? Baru setahun jagung usia Sahabat Faqeh Terengganu. Berjuang dalam kumpulan kecil, demi anak istimewa masing-masing. Dulu kami tidak saling mengenali. Namun, kewujudan SFT telah melahirkan keakraban dalam berjemaah.
Terima kasih atas ingatan adik-adik Sahabat Faqeh Terengganu sempena hari lahir ku yang ke 49 pada 15hb Mei yang lalu. Kek coklat 'Happy Birthday Mamarazzi' menjadi kejutan yang menyentuh hati. Dalam usia yang menghampiri separuh abad ni, sambutan hari lahir menjadi perkara terakhir yang ku fikirkan. Alhamdulillah, ada sahabat-sahabat yang memperingatinya.
Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa ku. Kau berilah peluang untuk aku memperbetulkan kesilapan dulu. Kurniakan ku taufik dan hidayah. Terima kasih kerana telah mengurniakan saudara mara yang 'sekasut' dengan ku ketika kami tercari-cari ilmu dalam mendidik anak istimewa. Kak Long sayang kamu semua sahabat-sahabat....
|
Berkongsi hari lahir dengan Farah..... |
10:34 AM
|
Hadiah Syahmi untuk Cikgu Wan Normah (Guru Kelasnya).... |
Sambutan Hari Guru kali ini Syahmi telah melangkahkan kaki ke Tingkatan 1. Tiada lagi dikelilingi guru-guru Pendidikan Khas yang lebih arif tentang keperluan anak istimewa. Syahmi berada di sekolah biasa sepenuhnya. Guru-guru biasa, yang tidak tahu menahu tentang anak-anak berkeperluan khas sepertinya.
Ibu dan ayah doakan kamu mendapat guru-guru yang boleh bertolak ansur dengan kekurangan kamu. Semoga terbuka hati cikgu-cikgu kamu untuk mengasihani pelajarnya yang ini seikhlasnya.
Kepada Cikgu Wan Normah binti Wan Mahmud yang merupakan guru kelas Syahmi sekarang di Sek. Men. Keb (A) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, tiada sesuatu yang dapat membalas jasa cikgu dalam melayan 'kerenah' anak saya sepanjang berada di bawah jagaan cikgu. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya...Selamat Hari Guru.
10:47 AM
Karnival Unisza Universiti Komuniti di Kampus Gong Badak kelmarin menyaksikan deretan booth dari agensi-agensi kerajaan, NGO dan sebagainya. Dalam banyak-banyak booth berkenaan, Persatuan Sahabat Faqeh Terengganu juga mencelah di sana memandangkan PSFT bergerak di bawah IDAMAN (Institut Darul Iman) iaitu organisasi yang digerakkan oleh Unisza bagi manfaat kerajaan negeri Terengganu Darul Iman.
Dipendekkan cerita, Syahmi 'melawat kawasan' karnival di hari ke 2 dengan rasa boringnya. Tiada gadget, tiada sesuatu yang menarik perhatiannya. Matahari terik menyebabkan segalanya tidak 'kena' pada awalnya. Namun, sesuatu di luar jangkaan berlaku apabila Syahmi melalui booth Pasukan Gerakan Am (PGA). Mula-mulanya malu, tapi tangan dah 'gatal-gatal' untuk merasai sendiri pengalaman memegang senjata. Saksikanlah sendiri.....
Muka mencuka, kini berubah manis umpama gula. Semua bahagian diteroka. Pada mulanya sahaja nampak malu, akhirnya tergugat jua imannya. Rasa malu letak ke tepi. Beranikan diri umpama perwira untuk mengangkat senjata.
Siapa sangka? Dia juga berminat dengan bidang ini. Sekurang-kurangnya berjaya juga kami mengalihkan perhatiannya dari gadget buat seketika. Berbaloi-baloi sejam menjadi tentera...hihihi
9:39 PM
|
Bunyi deruan air yang mengalir di celahan batu....menyamankan |
Hutan Lipur Sekayu di Kuala Berang, Terengganu penuh dengan kontroversi. Kisah remaja meninggal dunia akibat lemas setelah terjatuh ke dalam air suatu ketika dulu membuatkan hutan lipur ini sunyi sepi seketika dari dikunjungi orang ramai.
Cuaca panas kini seolah-olah ada kuasa magnet yang menarik kami untuk ke sana. Mencari kesejukan air semulajadi bagi membasahi badan. Bunyi deruan air di sana amat melegakan. Sedangkan air paip di rumah sudah tidak sesejuk dulu.
|
Sukanya dia bermain air.... |
|
3 beranak....Syahmi, Syawal dan ayah... |
|
Sahabat juga abang kandungnya... |
Ketika mula berada di kaki bukit kawasan hutan lipur ini, saya terserempak dengan seorang ibu yang sedang sibuk melayan kerenah anaknya yang agak menarik perhatian saya. Sebagai ibubapa yang mempunyai anak autisme, pasti boleh menghidu 'kelainan' yang sama pada anak autisme yang lain, lantas saya bertanya "Anak puan autisme ke". Ibu berkenaan tersenyum lalu saya katakan padanya "Saya pun ada seorang". Saya hanya sempat mengambil gambar dan bertanya pada si ibu, "Siapa namanya?". Lalu si ibu berkata, "Naim".
|
Naim...juga anak istimewa autisme |
Beberapa jam di sana, setelah puas mandi kami makan bekalan serba sederhana yang dibawa. Lalu berkemas untuk balik ke rumah sebelum azan zohor. Seronok bermandi manda, hingga masing-masing keletihan ketika dalam perjalanan balik. Di dalam kereta si abang lena berdengkur, sementara Syahmi masih lagi bertahan dengan tabletnya, sesekali terdengar tawa kecilnya melayan aplikasi kegemaran.....