A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Friday, December 15, 2017

ALHAMDULILLAH.....Walau Bukan Yang Terbaik



Meraikan kejayaan masing-masing
Syahmi terkanan (berdiri)

Bersama guru-guru dan ibunya
Berdiri dari kiri, YM Tengku Latifah (Guru B.Melayu), Ibu dan Syahmi
Duduk dari kiri, Pn Nor Aida (Guru Mathematik), Ustazah Asnaini (Guru B.Arab)

Syahmi bersama Pengetua Sek Men Keb (A) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu
Tuan Haji Abdul Rahim bin Mohd @ Abdul Ghani

Syahmi bersama rakan semenjak dari sekolah rendah, Abdul Rahman bin Azman

Rezeki dan ujian dari-Nya




Sunday, December 3, 2017

Telemovie Fatonah Azali-TV3



Redza Rosli (Azali) dan Nad Zainal (Fatonah)
dalam telemovie Fatonah Azali

Terbaik, mantap telemovie Fatonah Azali oleh Tanah Beris Film Production. Mereka membuat penyelidikan, bukan 'tangkap muat' dalam menghasilkan telemovie ini. Nad Zainal dapat membawa watak seorang autisme remaja yang bernama Fatonah dimana akhirnya berkahwin dengan seorang pemuda bernama Azali, watak yang dipegang oleh Redza Rosli.

Pengorbanan seorang anak muda bernama Azali yang mengambil keputusan untuk mengahwini Fatonah setelah akur dengan amanat bapanya Pak Tam sebelum meninggal dunia. Namun, Tuhan lebih menyayangi insan istimewa ini dimana Fatonah akhirnya telah terkorban setelah dilanggar kereta ketika mereka baru menikmati alam rumahtangga .

Tantrum, gaya pertuturan Fatonah, kekadang Fatonah menggunakan Bahasa Inggeris ("kalau kita miss orang, kita draw" papa kata), lurus bendul, memusing objek (memusing pencakar), masalah sensory seperti menutup telinga dengan ke dua belah tangannya, menggigit orang lain jika kehendak tidak dituruti, perlakuan berulang-ulang, w-sitting Fatonah, stimming dan banyak lagi ciri-ciri autisme yang dimasukkan ke dalam watak Fatonah. Sangat bersahaja, tidak nampak seperti dibuat-buat.

Sesungguhnya, dengan budget ciput sekali pun orang kita mampu menghasilkan yang terbaik jika bersungguh dalam menghasilkan sebuah drama/filem. Tahniah sekali lagi.....bangga dengan hasil sentuhan anak tempatan. Tidak hairan juga Nad Zainal bakal naik ke pentas tahun hadapan bagi menjulang award...InshaAllah

Semoga telemovie ini dapat meningkatkan kesedaran autisme di kalangan masyarakat kita.


Gandingan yang mantap dari pelakon Redza Rosli dan Nad Zainal

Thursday, November 30, 2017

Amanah Dan Toleransi



Minggu ini kita belajar erti menggalas amanah dan bertoleransi Syahmi. Bila terima khabar berita orang kampung di Perak nak datang menziarah kita di Terengganu, alangkah gembiranya kami.

Perkara pertama sekali tindakan kami, mestilah mengemas rumah. Syahmi memang dah lama perasan ibunya akan pegang 'penyapu' dulu bila saudara mara nak datang bertandang. Pegang 'penyapu' membersihkan lantai, membuang habuk, membersihkan sarang lelabah yang bergayutan di syiling rumah, mengemas tilam bantal, yang kurang harum akan cuba diharumkan.

Selain itu, membeli keperluan dapur yang secukupnya bagi menampung keperluan beberapa hari  tetamu bermalam di rumah kami. Semua itu untuk keselesaan tetamu nanti. Cuma rumah kami agak kecil, rumah 3 bilik, 2 bilik air. Fahamlah bagaimana keadaannya nanti bila 10 orang dewasa makan tidur bersama, tentu kurang selesa jadinya.

Syahmi diminta untuk turut membantu, membuang sarang lelabah yang tinggi nun di atas sana. Siapa lagi kalau bukan Syahmi, kerana dia mempunyai ketinggian yang mencukupi untuk menggalas amanah ini. Kemudiannya mengelap cermin tingkap, membuang sampah dan serba serbinya.

Tidak mengecewakan, walau sesekali ibu kena kuatkan suara supaya arahan lebih jelas dan difahaminya. Dia jenis yang  mendengar kata, jarang-jarang sekali berhelah bila diarahkan melakukan sesuatu kerja. Alhamdulillah....ibu dah ada pembantu kini.

Menjadi 'pemandu pelancong' kepada tetamu
dari kampung (Ayah Chor n Wah) iaitu ibu dan bapa saudaranya

Syahmi bersama Cikgu Faiz & Cikgu Maslina (sepupu Syahmi)
serta Fawwaz anak tunggal mereka

Dia belajar bertolak-ansur membenarkan tetamu berada di biliknya selama berada di sini. Dia rela berkongsi bilik dengan ibu dan ayah untuk beberapa malam. Sebelum tetamu sampai, dia dah mengemaskan segala barang-barang kesayangan seperti aeroplane model supaya mengelakkan dari menjadi tarikan pada anak-anak sepupunya nanti.  Dia berfikir ke depan nampaknya dalam hal ini.

Dia menjadi pemandu pelancong tak bertuliah ketika kami berjalan-jalan sekitar Kuala Terengganu. Sebenarnya pengetahuan dia tentang tempat-tempat menarik di sini agak baik. Dia rajin meng'google' untuk mendapatkan maklumat.

Saudara mara yang memahami tentang autisme, sangat membantu mereka dalam menjalani kehidupan seharian. Seronok kita beramai-ramai bersempit-sempit dalam kediaman yang comel,  makan minum bersama, tidur dalam keadaan tidak cukup tilam bantal dan 'toto'nya, mengajar erti toleransi buat Syahmi.

Lain kali jangan lupa datang lagi ke sini, menjenguk kami yang merantau jauh dari kampung halaman. Sunyi pulak bila kalian telah kembali ke kampung halaman.


Rindu kamu semua....datang lagi ya




Thursday, November 23, 2017

Tamat Sudah Persekolahan 2017




Kenang-kenangan mereka bersama (Tingkatan 3 Al Tirmizi)
Jamuan diadakan di rumah salah seorang rakan sekelas Adila Azmal di Kpg Atas Tol


Jamuan perpisahan di sekolah, meraikan guru-guru yang berpenat-
lelah mengajar mereka

Sekejap rasa, setahun sekelip mata. PT3 telah selesai, tahun depan menunggu dengan cabaran baru. Apa-apa pun kena tunggu result PT3 untuk mengetahui hala tuju seterusnya. Pelan-pelan kayuh Syahmi, doakan kehadiran kawan-kawan yang baik, guru yang memahami sepanjang pembelajaran seterusnya.

Diam tak diam, udah 3 tahun kamu di sekolah menengah. Ibu masih ingat raut wajah kamu ketika mula-mula mendaftar diri ke sekolah menengah. Macam nak menangis, tapi kamu tahan-tahankan rasa sedih itu. Perjalanan masih jauh, masih banyak lagi episode sedih dan tawa bertukar ganti dalam kehidupan manusia. Semoga kamu tabah mengharunginya.

Enjoy dengan cuti sekolah. Doa banyak-banyak agar kejayaan menyebelahi mu dalam PT3 nanti...InshaAllah


Tuesday, November 21, 2017

Dambaan....



Boeing A380

Dari awal tahun lagi dah didengari beberapa kali dia meminta untuk ke KLIA bagi melihat sendiri kecanggihan pesawat Boeing A380 MAS. Hanya sekadar melihat dari jauh katanya. Bukan untuk merasai pengalaman menaikinya.Huhuhu...pengsan ayah kalau nak naik pesawat ini, ribu-ribuan tentunya, perjalanannya jauh...ke London.

Kenapa pesawat ini istimewa di matanya? Besar, 2 tingkat, 500 penumpang sekali fly. MAS juga memiliki beberapa buah pesawat Boeing A380 termasuk sebuah daripadanya adalah unit yang ke 100 Boeing A380. Sejak tahun 2012 lagi Syahmi mendambakan untuk menyaksikan pesawat ini secara berdepan.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya cita-cita dia telah tercapai. Walau hanya mengintai dari jauh, memadai sudah baginya. Dia tak pernah meminta yang lebih-lebih dari kami. Dia tahu kemampuan ibu bapanya setakat mana.

Pengalaman menjejaki Boeing A380, bermusafir dari Terengganu ke KLIA memang membuatkan dia teruja. Puas hati...berbaloi-baloi setelah berhempas-pulas kepenatan dia menamatkan PT3 yang lalu. Sesekali memenuhi permintaan anak, tidak salahkan?


Penerbangan dari Kuala Terengganu ke KLIA 2


Relax sepanjang perjalanan ...

Menaiki ERL dari KLIA 2 ke KLIA 1

Menuju ke Anjung Tinjau

Hasrat kesampaian, Syahmi merenung jauh, sebuah pesawat Boeing A380 yang akan bertukar
tangan kepada pemilik baru khabarnya

Monday, October 16, 2017

Bukan Mudah!


Hari pertama PT3 yang lalu....ibu memerhati kamu dari jauh

Bukan mudah untuk menyedarkan masyarakat tentang kehadiran insan-insan autisme di sekeliling mereka. Keperluan mereka, kelainan yang ada, kecenderungan dan sebagainya. Kita mewakili  golongan minoriti, tentulah amat sukar untuk memberi kefahaman kepada masyarakat luar secara total.

Umpamanya, dengan kewujudan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sesebuah sekolah harian biasa adalah diharap dapat menyedarkan pelajar tipikal di sekolah tersebut tentang kehadiran insan-insan istimewa. Mungkin tidak semua dapat di'buka'kan mata dan minda mereka, namun sekurang-kurangnya ikhtiar ini dapat mengurangkan jurang keperluan berpendidikan tiap anak-anak sama ada yg tipikal mahu pun yang istimewa.


Zahirnya tiada siapa yang dapat membezakan antara yang istimewa dengan
yang tipikal (Syahmi pelajar istimewa, duduk no 2 dari kiri)

Bagaimana pula keadaannya bila pelajar istimewa diinklusifkan ke sekolah-sekolah biasa? Terkontang-kanting si pelajar istimewa berkenaan ke sana ke mari cuba mengimbangi kemampuan diri dengan rentak rakan tipikal yang lain.

Jadi, siapakah yang berperanan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat sekolah tentang kehadiran pelajar istimewa berkenaan? Tentulah jawapannya, ibubapa kepada pelajar tersebut. Tugas berat sebenarnya, bukan perkara mudah. Ibubapanya kena berani menampilkan diri dalam mesyuarat PIBG, mengenali AJK PIBG merupakan laluan terbaik ke arah memperkenalkan anak istimewa kita yang turut sama belajar di sekolah berkenaan.

Ayah,  memperkenalkan Syahmi kepada YDP PIBG sekolah 

Inilah antara usaha yang nampaknya sangat praktikal dilakukan supaya anak istimewa kita mendapat pembelaan di kalangan masyarakat sekolah. Disamping itu, jangan lupa juga untuk mengeratkan perhubungan dua hala dengan guru-guru sekolah terutama yang mengajar si anak istimewa berkenaan.

Jika bukan kita, siapa lagi? Buang ke tepi rasa malu, rasa sendirian dalam masyarakat sekolah. Sila ke depan, ikut rentak dan gelombang mereka yang berhempas-pulas memastikan kecemerlangan pelajar dan tidak secara langsung demi menaikkan nama sekolah juga. Jika tidak, pasti anak kita akan 'lemas' bersendirian.

Inilah nasihat dan perkongsian dari pengalaman menjadi ibubapa kepada pelajar istimewa yang belajar di aliran perdana. Semoga bermanfaat....


Thursday, October 12, 2017

Hikmah PT3 2017


Hanya pada Mu Ya Allah....

ALHAMDULILLAH...tamat sudah PT3 2017. Kertas akhir Bahasa Arab 8.00am hingga 10.00am tadi. Kelihatannya raut muka Syahmi manis terpampang ketika keluar dari bilik peperiksaan. Mungkin berpuas hati menjawab soalan kertas Bahasa Arab yang merupakan subjek yang paling diminatinya.

Syukur sangat atas kurniaan-Nya, kesihatan si anak yang sangat baik sepanjang bulan-bulan terakhir menjelangnya peperiksaan, kelas-kelas tambahan yang bertali arus dan sebagainya. Sementara ibu juga diizinkan-Nya untuk  membimbing si anak hingga ke garisan penamat. Walau kekadang semput mengejar masa, ibu gagahi juga demi anak.

Berapa 'A' target dalam PT3? Semua manusia mahukan yang terbaik. Namun kita kena rasional, dan tahu keupayaan si anak. Ibu sedar, ibu kurang menumpukan kamu kepada subjek Sains, sebab ibu pun lemah dalam penguasaan subjek tersebut. Tercari-cari juga guru persendirian untuk mengajar Syahmi. Malangnya sampai ke sudah tak jumpa-jumpa gerangannya. Syahmi pun sibuk dengan kerja kursus IB yang bertali arus. Tiada masa untuk ke kelas tuition. Namun, ibu agak terkilan bila Syahmi mengadu Kertas Soalan Sains yang paling sukar untuk dijawab.


Bersembang dengan kawan-kawan sebelum memasuki
bilik peperiksaan

Terima sajalah apa yang mendatang. Kita telah berusaha sedaya upaya. Cuma, pengalaman menghadapi PT3 kali ini agak menyedihkan pada peringkat awalnya. Pengasingan CBK (Calon Berkeperluan Khas) dengan pelajar tipikal yang lain membuatkan Syahmi sedih. Ditambah pula dengan anxiety yang melanda ketika menghadapi peperiksaan besar seperti PT3. Menangis dia menghadapi situasi dirinya dipisahkan dari kawan-kawan.


Pelajar lain berada di dewan sekolah untuk menjawab kertas PT3

Manakala, inilah bilik yang dikhaskan untuk Syahmi ketika menjawab
soalan PT3 2017

Diiring Cikgu Raja Nordiana menuju ke kelas pengasingan untuk
menjawab kertas peperiksaan
Ibu sebenarnya sayu melihat situasi dimana Syahmi diiring oleh seorang guru untuk ke bilik pengasingan yang terletak agak jauh dari dewan sekolah. Berjurai-jurai airmata Syahmi disaksikan orang ramai termasuk ibubapa dan guru-guru. Tiap kali peperiksaan dimulakan,  peristiwa yang sama berulang, ramai ibubapa lain yang tertanya-tanya, "Kenapa budak tu diasingkan ke bilik peperiksaan lain? Demam ke?"

Sebenarnya ramai ibubapa yang tidak mengetahui bahawa wujudnya anak istimewa di Sek Men Keb Agama Sheikh Abdul Malek. Tercengang-cengang mereka apabila mengetahui kes terpencil seperti ini dimana seorang anak istimewa digandingkan belajar di sekolah aliran perdana. Syahmi seorang pelajar inklusif.

Namun hikmah dari kejadian ini, ramai yang buka mata terhadap anak istimewa ini. Ada yang bersalaman dengan Syahmi dan menyatakan rasa bangga kerana anak ini mampu berada di kalangan yang tipikal. Masih ada dalam masyarakat kita insan-insan yang prihatin terhadap anak-anak istimewa. Alhamdulillah....

Ibu bangga dengan kamu Syahmi. Bukan kerana 'A' yang diburu, tapi kerana kamu anak istimewa, istimewa dalam segala-galanya. Kekadang ibu tak nampak keistimewaan kamu di mana, lalu Allah tunjuk secara 'cash' di depan mata. Ampunkan dosa-dosa kami Ya Allah. Jadikan kami hamba-hamba yang sentiasa bersyukur atas kurniaan Mu....aamiin

Terimalah keputusan nanti dengan hati terbuka....inshaAllah





Sunday, October 8, 2017

Debaran Di Kemuncaknya



Aamiin....

Esok PT3 bermula. Ya Allah ya Tuhan ku, telah habis daya buat kami ibubapanya, guru-gurunya untuk memberi ilmu pada Muhammad Syahmi Asyraff Bin Samsul Muariff. Kami serahkan segalanya kepada Kamu Ya Rabb. Semoga Engkau kurniakan ketenangan hati buat dia menghadapi Peperiksaan PT3. Permudahkanlah urusannya.

Semoga, kecemerlangan menjadi miliknya, juga milik rakan-rakannya dan menjadi manfaat kepada ummah di masa akan datang. Sesungguhnya Engkau jua yang maha mengetahui atas segalanya. Amiin



Thursday, October 5, 2017

Bila Obsessnya 'Menggila'...



Bas Kite.....

Autisme dan obsessi, tidak boleh dipisahkan. Masing-masing dengan obsessi terhadap sesuatu perkara/objek yang menarik perhatian mereka. Kita yang biasa ni tidak ambil kisah sahaja, tapi bagi mereka perkara/objek berkenaan amat mengasyikkan, bernilai dan perlu diteroka lebih lanjut.

Kalau dulu, di awal usianya dari 6-12 tahun. Syahmi amat berminat dengan dunia astronominya. Segala nama planet dihafalnya, fakta-fakta penting diintai melalui internet. Malamnya bermimpikan kisah angkasaraya. Hinggakan suatu ketika, dia pernah bercita-cita hendak menjadi angkasawan negara....hehehe

Kemudian obsessinya berubah kepada model-model kapalterbang. Berpuluh-puluh model airplane dibeli, yang mahal, yang murah semua dibeli. Yang dalam, yang dipesan dari luar negara seakan semua ingin dimilikinya.

Melalui perkampungan keropok...Kpg Losong

Kini 2017, obsessinya berubah kepada Bas Kite, iaitu bas-bas pelancongan negeri Terengganu. Bas yang sebahagian besar strukturnya dihiasi dengan ukiran kayu, lengkap dengan wifi serta berhawa dingin. Mengelilingi sekitar bandar Kuala Terengganu dengan tambang yang berpatutan (tidak melebihi Rm3 bagi satu trip perjalanan).

Obsessi kali ini, betul-betul memenatkan ibunya. Kalau boleh, setiap hari minggu kami kena menaiki Bas Kite bersamanya ke destinasi Masjid Terapung dan kadang kalanya ke Masjid Kristal. Kita yang biasa ni, tak ambil kisah sangat tentang kewujudan perkhidmatan bas ini. Tapi si anak autisme, obsessinya bukan alang kepalang. Segala sudut bas berkenaan diperhatikannya. Iklan-iklan, pamphlet yang dipamerkan dalam bas, butang loceng dan sebagainya.

Bas Kite.....

Hiasan dalaman yang cantik semestinya...

Minatnya bukan terhenti begitu sahaja. Beberapa video telah dihasilkannya sendiri lalu diupload ke dalam youtube. Sila ke link https://www.youtube.com/watch?v=GcBQ4A822Tk&t=85s. Inilah antara beberapa video yang telah dihasilkannya sendiri.

Sebagai ibubapa, layan sahajalah obsessinya itu. Bukan mahal mana pun kosnya. Cuma pengorbanan masa tu yang agak mencabar. Bayangkan satu perjalanan memakan masa sejam....tentu boringkan? Selagi mampu, selagi terdaya saya ikutkan juga. Obsessi ini bukan boleh ditahan-tahan.

Semua ini pengalaman kepada kita yang mempunyai anak istimewa autisme. Orang lain tidak akan  merasa pengalaman ini walau kekadang  boleh hilang sabar dibuatnya. Dugaan yang kecil ni, tak perlulah kita patah semangat. Ramai lagi insan di luar sana yang lebih besar dugaannya....tak gitu?


Mengajak teman  sekolahnya, Haddul merasai pengalaman menaiki Bas Kite.....

Tuesday, September 26, 2017

Mereka Sebaya Tapi Tak Setara



Haddul, Ayah Syahmi, Syahmi

Sekali pandang, tiada bezanya antara Syahmi dan Haddul. Mereka rakan setingkatan, 3 Al Tirmizi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek,  Kuala Terengganu. Ketinggian lebihkurang sama, cuma berbeza sedikit disebabkan Syahmi yang bertubuh gempal berbanding Haddul yang agak kurus.

Lepas menghadiri kelas tambahan, sempat kami 'kidnap' Haddul dari asrama sekolah untuk ke bowling center atas permintaan Syahmi sendiri. Mereka berdua dah bercadang nak main bowling sama-sama, melepaskan stress setelah sibuk dengan kelas tambahan tak sudah-sudah. Pt3 tinggal dua minggu sahaja lagi.


Lontaran yang tidak kurang hebatnya dari Syahmi

Pertama kali Haddul ke bowling center....mula-mula ke 'longkang' jua

Setelah beberapa ketika memerhatikan kedua sahabat ini berbual, bergurau senda, berkongsi pengalaman, kita akan sedar bahawa Syahmi masih terkebelakang dalam pergaulannya. Masih terselit jurang yang menampakkan perbezaan dia dengan sahabatnya itu walau mereka sebaya. Masih belum 'smooth' untuk masuk ke dalam 'rentak' perbualan. Kekadang nampak jelas keanak-anakannya.

Harap Syahmi boleh berubah, mahu menerima teguran ibu demi memperbaiki kekurangan ini. Tidak hairanlah jika mereka akan dianaktirikan dalam kelasnya. Hanya sahabat yang benar-benar sabar sahaja yang boleh mendampingi mereka. Disebalik pengalaman ini, ibu menangis di dalam hati memikirkan masa depan Syahmi. Bolehkah kamu  berubah? Masa berjalan dengan pantas. Dua tiga tahun lagi kamu akan belajar jauh dari mata ibu. Dapatkah kamu berdikari?

Kadang-kadang KETABAHAN ibu tercalar jua......


Selesai sudah....lain kali kita  ke sini lagi

Monday, September 25, 2017

Pemergian Yang Ditangisi...Al fatihah


Allahyarhamah Erda Zuliana

Seorang yang disayangi oleh anak-anak istimewa kerana khidmat baktinya. Seorang ahli Terapi Cara Kerja, kerjaya yang amat sesuai dengan personalitinya. Lemah lembut, senyum sentiasa. Disenangi anak-anak syurga dan ibubapanya, majikan, sahabat dan taulan, apatah lagi keluarganya.

Sabtu, bersamaan 23hb Sept 2017 dikhabarkan berita sedih tentang pemergiannya oleh para kenalan 'sekasut'. Pemergiannya kira-kira 4.40pm di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Jangan ditanya kenapa dan mengapa. Semuanya adalah perjanjian-Nya terhadap setiap hamba. Pendarahan dalam otak, jangkitan kuman semuanya hanya asbab kepada pemergiannya. Dalam usia 30 tahun, beliau telah dipanggil kembali oleh pencipta-Nya.

Bersama-samalah kita mendoakan agar rohnya aman di sana. Jasanya terhadap anak-anak istimewa di daerah ini amat besar, kebanyakan ibubapa kepada anak istimewa di sini amat mengenali Allahyarhamah yang tidak pernah lokek membantu.

Kelmarin, berkesempatan saya menjejaki kediamannya di Lorong Gong Kuin 2, Tok Jembal, Kuala Nerus. Kunjungan terakhir dari Kak Long tanda penghormatan buat insan yang banyak menabur bakti kepada anak-anak istimewa di daerah kami. Kak Long tidak akan melupai sokongan Erda atas kejayaan Syahmi selepas berjaya memperoleh 5A dalam UPSR 2014. Angpow paket berisi RM50 dari mu, membuatkan kami terharu kerana bagi Syahmi jumlah tu terlampau banyak.

Kak Long percaya, walaupun Erda telah tiada bersama kami, namu mu tetap akan disebut-sebut oleh ibubapa kepada anak istimewa atas kebaikan mu menyantuni anak-anak syurga kami. Pasti anak-anak syurga ini juga merindui 'sentuhan' terapi mu. Semoga amal bakti mu diterima-Nya, ditempatkan roh mu bersama-sama mereka yang dikasihi...aamiin


Innalillahiwainnailaihirojiun...Al Fatihah


Thursday, September 21, 2017

Forum Anjuran LPPKN di IPG Kampus Dato' Razali



Keratan akhbar keesokkan harinya berkenaan seminar
 "Anak Istimewa Satu Anugerah"

Beberapa kali menjadi panel program yang seumpamanya, membuatkan saya tidak lagi gementar dengan suasana. Boleh tidur mlam seperti biasa walau esoknya akan berkongsi pengalaman di hadapan orang ramai. Tak perlu skrip yang bertulis. Cukup sekadar mengetahui soalan-soalan yang akan dikemukakan supaya kita tahu skop jawapannya supaya tidak berjela-jela bercakap hingga mengambil masa yang sememangnya terhad.

Alhamdulillah, semoga bermanfaat buat ibubapa yang senasib. Buat bakal-bakal guru dan guru-guru yang sedia ada, harap dapat menjadikan perkongsian kami sebagai pedoman dalam menghadapi kerenah murid-murid nanti. Tidak mustahil suatu masa nanti, cikgu-cikgu akan berhadapan dengan anak autisme di kelas masing-masing kerana jumlah golongan ini semakin ramai dikesan dalam masyarakat.

'Anak Istimewa Satu Anugerah' merupakan tajuk forum yang dipilih. Terima kasih kepada pihak yang berusaha terutamanya LPPKN dan kerajaan negeri Terengganu atas keprihatinan terhadap isu anak istimewa. Tidak ramai yang cakna tentang anak istimewa, biasanya kita mengambil mudah terhadap kehadiran mereka di persekitaran kita.

Sedangkan hakikatnya golongan inilah yang perlu dibantu kerana kekurangan mereka ini kekal hingga ke akhir hayat. Kalau bukan kita yang sihat, segar bugar ini, pada siapa lagi tanggungjawab hendak disandarkan? Forum yang berlangsung kelmarin membuktikan bahawa masyarakat mula membuka mata terhadap nasib insan-insan istimewa termasuk yang mengalami autisme. Syukran, syukran, syukran.....


Auditorium IPG Kampus Dato' Razali Ismail, Batu Rakit

Thursday, September 14, 2017

Kem PT3 Berita Harian (Kuala Terengganu)



Lama saya tak menjenguk ke sini. Bukannya disengajakan, cuma laptop yang 'meragam'. Banyak moment penting tentang Syahmi tak dapat saya update lately. Cuti sekolah hari tu, kalau tak silap 25hb-26hb Ogos 2017 (Jumaat dan Sabtu), kami hantar dia menyertai Kem PT3 Berita Harian di UMT, Gong Badak.

Tak ramai kawan-kawan sekolahnya yang menyertai kem berkenaan. Tapi saya tetap menuruti kehendaknya supaya dapat merasai pengalaman bersama pelajar lain dari sekolah-sekolah yang pelbagai di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Kira-kira 70 lebih pelajar lain menyertai kem berkenaan.

Tiada siapa yang menyedari bahawa dia seorang anak istimewa, kecuali kawan-kawan sekolahnya, Syahmi mengutip ilmu dari guru-guru yang dibawa dari luar tanpa segan silu. Tidak malu menunjukkan kemampuannya, membaca doa mengetuai pelajar-pelajar lain sebelum memulakan subjek Matematik. Syahmi juga dicabar guru Bahasa Inggeris untuk menyanyikan lagu Inggeris yang telah diubahsuaikan liriknya kepada yang lebih ilmiah. Akhirnya keberaniannya menyanyi telah mendapat tepukan kawan-kawan.

Jelas sekali kegembiraannya apabila diberi peluang dan ruang. Dia juga mampu melakukannya sebagaimana yang tipikal. Cuma masyarakat kita kurang memberi kepercayaan terhadap mereka yang dilabelkan sebagai OKU. Inilah perjuangan mereka insan-insan istimewa dalam berhadapan dengan kerenah masyarakat.

Semoga terus cemerlang Syahmi...InshaAllah

Senyum hingga ke telinga....

Kegembiraan yang jelas tergambar..
Syahmi bersama guru dan kawan-kawan yang menyertai kem PT3 selama 2 hari

Thursday, August 17, 2017

Angka Giliran Dah Cantik...011K111



011K111, cantikkan? Kebetulan yang  menakjubkan. Itu dia angka giliran Syahmi sebagai calon PT3 2017 (Nombor tertera sebenarnya bukan angka giliran yang lengkap). Mungkin kamu tak se cerdik calon-calon yang lain. Tapi kamu satu-satunya calon istimewa sekolah. 

Angka giliran pun istimewa sebagaimana kamu yang istimewa. Semoga beroleh kejayaan, namun usaha perlu diteruskan.  Masih ada 50 hari lebihkurang untuk mempersiapkan diri menghadapi PT3. Keputusan trial hari tu, menampakkan peningkatan yang lebih baik.

Semoga Allah permudahkan urusan kamu, Syahmi....aamiin




Monday, July 24, 2017

Letih Benar Dia



PT3 makin dekat, dua bulan sahaja lagi. Kelas tambahan hingga ke petang. Kerja kursus PT3 juga mendesak. Kerja kursus IB pun bertimpa-timpa. Kerja Kayu KH, Ujian Segak, semua datang dalam masa yang sama. Kesian dia, letih sangat nampaknya. Tidur malam lena, letak kepala di bantal terus bermimpi hingga ke negeri China lagaknya. Pada halnya, kerja sekolah masih banyak yang belum diselesaikan.

Apa yang ditanggungnya kini memang berat jika dibandingkan dengan usianya. Budak-budak masa kini dihantui dengan bebanan persekolahan yang melampau. Budak tipikal pun terasa akan kepayahannya, inikan pulak budak istimewa.

Bersabarah anak ku....ibu tahu kamu letih seletih letihnya kini. Sikit lagi nak, ibu ada untuk membantu kamu. Kita sama-sama harungi dua bulan penuh mencabar ini. Semoga kamu diberi kekuatan untuk melaluinya...aamiin



Bangun nak....

Sunday, July 9, 2017

Raya 6.....



Syahmi 

Selesai sudah dia berpuasa sunat enam kelmarin. Pertama kali dalam hidupnya dia menunaikan ibadah sunat yang ini. Walau panas terik menghantui kami di Kuala Terengganu, tetap digagahi jua untuk melakukan puasa sunat ini dengan redha. Alhamdulillah....hari ini dia menyambut Raya 6.

Ibu pernah memujuk dia untuk tidak berpuasa 6 ketika hari-hari persekolahan memandangkan cuaca yang panas terik sekarang juga cabaran menyaksikan kawan-kawan di sekolah yang tidak berpuasa. Rupa-rupanya ibu silap besar kali ini. Dia sudah remaja ibu. Dia sudah dapat menilai kemampuan diri sendiri. Dia bukan kanak-kanak lagi.

Semoga kamu terus istiqamah dalam melakukan perkara yang baik. Sesungguhnya mereka benar-benar 'lurus'. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati dalam menyalurkan sebarang input supaya benar-benar difahami dan dapat diaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Maafkan ibu Syahmi, kali ini ibu salah menilai kamu.






Monday, July 3, 2017

Ziarah Mereka Yang Ditinggalkan



Jumaat, 23hb Jun 2017, perjalanan kami dari Kuala Terengganu bermula jam 2.30am menuju ke Kuala Kangsar untuk menyambut hari raya Aidil Fitri di kampung. Melewati jalan raya Timur-Barat beberapa jam, kami singgah sebentar di Kpg Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar bagi menziarah sahabat yang kehilangan anak tunggal mereka beberapa hari sebelum Ramadhan. Dingin suasana ketika itu, kami sampai di sana kira-kira jam 8.00am.


Genap sebulan pemergian IzOne, ziarah kali ini untuk menemukan Syahmi dengan ummi dan ayah arwah. IzOne dan Syahmi sebaya, lahir tahun 2002 dan sekarang berusia 15 tahun. Kedua-dua mereka anak istimewa autisme. Diharap dengan kunjungan ini dapat mengubat rindu dendam keduanya terhadap anak kesayangan mereka yang telah mendahului kita. Al fatihah.


Keceriaan terpancar biar pun kunjungan hanya seketika

Kemesraan terbina....

Sempat juga kami ke pusara ahli syurga ini (InshaAllah) untuk menghadiahi bacaan Yasin buatnya yang diketuai oleh Syahmi sendiri. Tak terlintas langsung sebenarnya ziarah kali ini hingga menjejakkan kaki ke tanah perkuburan Kg Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar tempat dimana bersemadinya jasad insan istimewa ini.


Semoga kamu berbahagia di sana....IzOne

Sebelum mengundur diri bagi meneruskan perjalanan ke kampung Syahmi yang terletaknya hanya lebihkurang lima kilometer sahaja lagi, sebuah pelukan mesra Syahmi buat ayah kepada arwah. Lusanya sambutan hari raya Aidil Fitri. Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah keadaan suami isteri ini menghadapi hari kemenangan umat Islam ini tanpa anak tunggal mereka.


Sayu bagi yang menyaksikan detik ini.....

Semoga kamu suami isteri beroleh ganjaran pahala yang besar atas kesabaran dan keredhaan menerima ujian dari Nya. Kehilangan yang tiada berganti. Namun percayalah, Tuhan menguji dalam batas kemampuan hamba Nya. Mengikut kata si ayah, "Tiada siapa lagi yang kami tunggu kali ini, biasanya kawan-kawan dia datang ke rumah untuk beraya".

Ya Allah, Kau hapuskanlah kegundahan mereka suami isteri (jika ada) . Gantikanlah rasa ketenangan dan kedamaian yang abadi supaya mereka lebih bersemangat untuk menghadapi hari-hari mendatang. Aamiin.....




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...