A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Wednesday, October 31, 2012

No More Cakap-Cakap Belakang!!!



                        Inilah kejayaan yang ditunggu-tunggu dari anakanda Syahmi. Berbaloi rasanya penat lelah si ibu menjadi guru untuk anaknya kerana Syahmi telah membawa pulang berita gembira. Syahmi telah berjaya memperolehi markah 95% bagi matapelajaran Matematik dalam Peperiksaan Akhir Tahun yang lalu.


Matematik

                        Harus diingat bahawa Matematik merangkumi 2 kertas iaitu Kertas 1(Objektif) dan Kertas 2 (Jawapan dengan jalan kira). Syahmi berjaya memperolehi 36/40 bagi Kertas 1 sementara 40/40 iaitu markah penuh untuk Kertas 2 (dialah satu-satunya pelajar yang memperolehi markah penuh dari keseluruhan pelajar aliran perdana Tahun 4 di sekolahnya).  Menjadikan jumlah peratusannya 95%. Untuk pengetahuan semua, hanya 13 pelajar yang memperolehi gred 'A' dari kelasnya dan Syahmi antara yg terbaik itu. Syabas anakanda!


Jawapan Kertas 1 (Objektif)


Kertas 2 (Jawapan dengan jalan kira)


Muka Surat 2



Muka Surat 3

Muka Surat 4


Muka Surat 5



Muka Surat 6

Muka Surat 7

                        'Cakap-cakap belakang' yang sampai ke telinga saya apabila Syahmi memperolehi markah di kalangan yang terbaik antara pelajar di aliran perdana, seolah-olah ada yang mencurigai kemampuan sebenar anak istimewa sepertinya. Ada yang kata " Markah kesian jer tu". Ada juga yang kata "Agaknya kalau tak dibagi markah yang baik, mesti dia melalak menangis"(semasa Tahun 1). Dan ada juga yang kata "Mungkin meniru" dan sebagainya.......

                         Semoga kejayaan kali ini dapat mengubah sedikit persepsi mereka-mereka yang mencurigai keupayaan anak istimewa. Jadikan 'cakap-cakap belakang' ini sebagai motivasi. Dengan harapan, Syahmi lebih berjaya lagi di tahun-tahun mendatang...InsyaAllah

Friday, October 26, 2012

Bukan Berkorban Apa Saja......



Pilihan yang terafdhal........Unta


Seterusnya lembu .....atau yang sejenisnya seperti kerbau


Dan yang ini........atau yang sejenisnya seperti biri-biri, kibasy


                   Pokoknya binatang-binatang ternakan pilihan ini selamat dari kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan daging atau lemaknya atau anggota lain yang boleh dimakan, sihat yang tidak berpenyakit serta cukup umur. Seekor unta atau lembu atau kerbau itu boleh dikongsikan oleh 7 orang samada di kalangan ahli keluarga mahupun yang lain, walau tidak sama maksudnya samada aqiqah atau qurban.  Manakala bagi seekor kambing ianya hanya untuk seorang tidak boleh dikongsikan.


                    Afdhalnya binatang ternakan yang dibuat korban adalah yang berwarna putih, kemudian yang berwarna kuning, kemudian yang putih tetapi yang tidak bersih putihnya, kemudian yang sebahagian dari badannya berwarna putih, kemudian yang sebahagian berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah kesemuanya.


                    Bukan berkorban apa saja.....kerana binatang ternakan tertentu sahaja yang sah disembelih untuk dibuat korban sebagaimana dituntut menerusi Surah Al Hajj Ayat 34 dengan perincian yang secara detail melalui hadis-hadis nabi. Wallahualam......




SELAMAT MENYAMBUT HARIRAYA KORBAN
DARI KAMI SEKELUARGA




                                   
                     

Thursday, October 25, 2012

Kelebihan Lelaki Berkhatan



Tanggungjawab Seorang Ayah!
               

           Berkhatan ketika musim cuti sekolah, menjadi perkara lumrah bagi kebanyakan ibubapa untuk melangsaikan tanggungjawab terhadap keperluan wajib ke atas anak-anak lelaki terutamanya. Berkhatan adalah pembedahan kecil yang dilakukan bagi membuang sebahagian dari kulit hujung zakar.  Ianya sebagai tuntutan agama kita yang mementingkan kebersihan rohani dan jasmani umatnya. Antara kelebihan berkhatan ialah:


          1.   MENGELAK JANGKITAN KUMAN DI SALUR KENCING

                Dibuktikan melalui kajian bahawa bayi lelaki yang berkhatan mempunyai
                kebarangkalian 10 kali lebih rendah kadar jangkitan kuman di salur kencing          
                berbanding dengan yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman di salur kencing
                boleh mengakibatkan kes yang serius, jika tidak dirawat boleh merosakkan
                fungsi buah pinggang atau kuman akan merebak ke bahagian tisu badan yang
                lain.

         2.    KEBERSIHAN- MENGELAKKAN SMEGMA

                Smegma iaitu longgokan putih dan berbau busuk yang terhasil dari kotoran saki baki air
                kencing yang bertakung di bahagian kulit berlebihan di hujung zakar. Bahagian ini
                amat sesuai menjadi tempat pembiakan kuman kerana sifatnya yang mudah
                tercedera dan lembap.

                Manakala smegma ialah najis yang boleh membatalkan air wuduk dan sembahyang.
                Selain dari itu, ia menjadi faktor penyebab jangkitan kuman pada bahagian zakar
                seperti phimosis, paraphimosis atau balanitis. Kesannya  menyebabkan rasa sakit
                yang serius dan kesukaran membuang air kecil kepada penghidapnya.


         3.    Mencegah HIV

                Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) telah mengeluarkan kenyataan penting pada 28hb
                Mac 2007 tentang kaedah pencegahan kuman HIV. Kenyataan berbunyi " kajian saintifik
                membuktikan tanpa keraguan bahawa lelaki berkhatan dapat mengurangkan kadar
                perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri. Seeloknya berkhatan dilakukan
                dilakukan sewaktu berumur lebih kurang satu tahun kerana kadar risiko dan
                komplikasi procedure lebih rendah".

                Berkhatan juga telah mula diamalkan di negara yang berisiko tinggi akan jangkitan HIV
                seperti di beberapa buah negara benua Afrika.


         4.    MENGURANGKAN RISIKO KANSER

                Kanser zakar, prostat bagi lelaki serta kanser serviks (pangkal rahim) dan kanser payu
                dara dikalangan wanita merupakan jenis-jenis kanser yang dapat dikurangkan risikonya
                melalui berkhatan.

                Kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah faktor penting yang
                membawa kepada kanser serviks di kalangan wanita. Kuman ini didapati boleh
                berlindung di bawah kulit hujung zakar lelaki dan dipindahkan melalui persetubuhan.
                Kajian juga menunjukkan bahawa jika semua lelaki berkhatan maka 20% kadar
                berlakunya kanser serviks dapat dielakkan. Virus yang sama juga boleh mencetuskan
                kanser payu dara di kalangan wanita.

                Kajian juga mendapati bahawa kanser zakar juga rendah di kalangan mereka yang
                berkhatan ketika di awal usia iaitu pada unur kurang dari setahun.

                Begitu juga kanser prostat di beberapa negara Eropah di kalangan lelaki berkhatan
                adalah 2 kali lebih rendah dan begitu juga dengan penyakit kelamin. Ini menyebabkan
                berkhatan kini menjadi amalan masyarakat bukan Islam juga.


           Ramai dari kita yang tertanya-tanya apakah hukumnya berkhatan bagi anak istimewa? Pernah saya terbaca dalam blog www.ZARIFI DAUD.com yang menerangkan tentang keperluan mengkhatankan anak istimewa(terencat akal) menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada sidang ke 77, 10-12 April 2007. Mereka telah membincangkan tentang keperluan berkhatan bagi pesakit haemophillia (penyakit keturunan yang menjejaskan keupayaan badan untuk mengawal  pembekuan darah di dalam badan) serta kanak-kanak terencat akal.
             
           Bagi pesakit haemophillia, tidak diwajibkan keatas mereka kerana proses berkhatan  boleh membawa kemudharatan kepada penghidapnya. Manakala bagi kanak-kanak terencat akal, kewajipan berkhatan adalah bergantung kepada tahap kecacatan otak yang dialaminya. Gugur segala kewajipan melaksanakan ibadah termasuk berkhatan  ke atas kanak-kanak yang mengalami kecacatan otak yang teruk. Namun kebersihan anggota tersebut haruslah dijaga dengan baik oleh keluarganya.


          Hampir 70% kanak-kanak autisme ada masalah terencat akal dalam tahap yang berbeza, maka bagi pendapat saya sebagai ibubapa kita mestilah menilai sendiri tahap anak istimewa kita. Namun dalam kemajuan yang ada,  berbagai procedure yang dijamin selamat dapat dilakukan supaya anak-anak istimewa kita juga merasai pengalaman berkhatan seperti yang dituntut oleh agama. Wallahualam....



Tahun ini giliran Syahmi.......semoga dipermudahkanNya
             

            

Tuesday, October 23, 2012

Kejayaan Juga Ujian DariNya....


                      Kalau Siti Nurhaliza menjadi kebanggaan semua.....segala gerak geri menjadi tumpuan. Apa yang dibuat semuanya 'kena' bagi sebahagian besar kita. Anugerah diterima hingga penuh almari......namun jangan lupa bahawa ini juga merupakan bentuk ujian supaya kita sentiasa mensyukuri limpahan nikmat dariNya.

Siti Nurhaliza suatu ketika dulu....

                      Bukan maknanya hendak membandingkan kejayaan Siti Nurhaliza dengan secubit kejayaan yang dicapai oleh Syahmi kini. Jauh sangat jaraknya umpama Bumi dengan Pluto.....Cuma rasa bangga sebagai ibubapanya dengan beberapa kejayaan Syahmi sepanjang tahun 2012.  Usaha kami mula menampakkan hasil walau sebelum ini  tiada siapa yang 'cakna' dengan kemampuannya.


                      Tujuan saya hanya untuk mengingatkan diri sendiri supaya tidak alpa dengan kejayaan anak yang sekelumit ini......jangan ada rasa riak dan sombong atas kurnian-Nya. Masih jauh perjalanan Syahmi untuk menempuh ranjau kehidupan. Beringat-ingatlah bahawa kebiasaannya kita lebih mengingati-Nya apabila kita susah.......namun bila kita senang  berapa ramai antara kita yang ingat pada-Nya?


                      Kalau dulu Syahmi hanya berada dalam dunianya sendiri, bersekolah di aliran perdana sendirian tanpa sesiapa yang menghargai kewujudannya di sekolah. Nampaknya sekarang masyarakat sekolah mula sedar potensi anak istimewa ini dengan beberapa kejayaan mengharumkan nama sekolah bagi tahun 2012 dan insyaAllah di masa-masa akan datang....

 
Antara pencapaian tahun 2012 (Tempat Ke tiga Tilawah
 Al Quran Pringkat Negeri Terengganu)


                       Sebenarnya, kejayaan menjuarai Tilawah Pendidikan Khas Peringkat Daerah Kuala Terengganu serta tempat ke tiga Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman dan menjuarai juga Pertandingan Esei Peringkat Daerah Kuala Terengganu Selatan kategori Pelajar Pendidikan Khas merupakan pencetus semangat anak ini untuk mengembangkan kebolehannya.

   
                      Semoga Syahmi sentiasa berkeyakinan bahawa anak istimewa juga boleh menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat!


                     

Saturday, October 20, 2012

Agenda Anak-Anak Vs Agenda Ibubapa Bila Cuti Sekolah Tiba.....



Demam exam udah 'kebah'......result belakang kira



Kalau dah meminjam.....kenalah dipulangkan kepada
 yang berhak (Pinjaman Buku Teks)



Senyum ada makna ni....
               


Nasib baik destinasi tempatan jer yang ditagih......



Sedangkan si ayah........berat memikirkan  banyak
hal sebelum beragenda



Thursday, October 18, 2012

Elaun RM150 Lesap........Anak 'Selekeh' Ke Sekolah

             
                  Dulu RM50 sahaja, namun ia telah dinaikkan ke RM150 sebulan bermula 2009. Elaun Murid Khas (EMK) merupakan antara kemudahan yang diperolehi oleh murid pemegang kad OKU selagi mereka belajar di sekolah-sekolah kerajaan, pusat-pusat Pemulihan Dalam Komuniti mahupun pusat-pusat pendidikan anak-anak istimewa kelolaan NGO yang diiktiraf seperti Nasom.


Bukan sampai berguni....cuma RM150 sebulan

                 Bagi yang 'Ada' tidak banyak nilainya kalau setakat RM150 sebulan......tapi bagi yang 'Tiada' jumlah tersebut sangat-sangat membantu mereka untuk menampung keperluan anak-anak istimewa masing-masing bersekolah. Sewajarnyalah elaun ini diwujudkan bagi membantu ibubapa 'terpilih' dengan anugerah anak istimewa untuk diberi pendidikan sewajarnya di sekolah.


                 Namun Elaun Murid Khas ini kekadang menjadi satu masalah kepada pihak sekolah untuk menguruskannya. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Pelbagai kerenah manusia ada apabila membicarakan soal  'wang'. Ada segelintir ibubapa yang mengambil kesempatan ke atas elaun tersebut untuk dibelanjakan  bagi tujuan yang tidak bertanggungjawab.


                  Kerana segelintir yang buat hal.....semua ibubapa menerima tempiasnya. Buku Simpanan BSN terpaksa disimpan oleh pihak sekolah untuk tujuan pemantauan, jumlah pengeluaran juga telah dihadkan dek kerana penyalahgunaan oleh pihak-pihak yang terbabit.


Yang selekeh bukan identiti anak-anak Pendidikan Khas!
                 
                   Bertambah malang lagi, ada ibubapa yang sanggup membiarkan anak-anak istimewa ke sekolah tanpa kelengkapan yang sepatutnya. Baju lusuh, stokin koyak rabak, kasut tidak pernah dibersihkan hingga menyebabkan masyarakat luar  memandang sinis terhadap anak-anak di Pendidikan Khas. Kasihan anak-anak istimewa, sedangkan mereka telah diberi elaun tetap untuk pendidikan mereka. Sepatutnya, ke sinilah elaun itu disalurkan supaya anak-anak istimewa juga dijaga ketrampilan diri ketika ke sekolah. Lebih menyedihkan lagi apabila guru meminta bantuan kewangan untuk menjalankan aktiviti di sekolah, ramai juga yang buat tak kisah.....

               
                  Jangan kita bersangka bahawa anak-anak istimewa tidak menjanjikan apa-apa untuk masa depan. Rezeki di tangan Tuhan, amanahNya harus kita jaga dengan menunaikan haknya. Mereka juga selayaknya dilayan seperti anak-anak tipikal lain malahan sepatutnya lebih istimewa dari setiap sudut.....renung-renungkanlah.....
                 
                 

               
                  

Monday, October 15, 2012

Apa itu Program Inklusif ...........

                       

Apabila anak-anak kita didiagnose sebagai insan autisme, ramai yang tertanya-tanya ke mana anak kita akan ditempatkan untuk persekolahannya. Sebenarnya anak autisme juga berhak mendapat pendidikan seperti anak-anak tipikal yang lain. Cuma kerenah masyarakat yang masih belum mencapai tahap kesedaran yang tinggi terhadap Autisme itu sendiri membuatkan ibubapa berasa kecewa untuk memilih penempatan yang bersesuaian buat anak masing-masing. Tadika biasa akan menolak kemasukan anak-anak istimewa dengan pelbagai alasan.


Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran yang diadakan di sekolah-sekolah kerajaan, juga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti  yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah antara pusat-pusat yang menerima kemasukan anak-anak autisme disamping program kendalian pihak NGO seperti Nasom. Ada juga di kalangan ibubapa yang mempunyai anak autisme yang berpotensi di bidang akademik dengan  tingkahlaku yang terkawal, maka golongan ini juga tidak disia-siakan dan diwujudkan program tertentu demi masa depan golongan berkenaan.


Mereka di tempatkan di aliran perdana

Bagi anak-anak autisme di Pendidikan Khas yang boleh menguasai beberapa mahupun sebahagian besar dari matapelajaran akademik, mereka akan diberi peluang ke kelas biasa iaitu di aliran perdana bagi mengikuti pembelajaran normal. Inilah yang dinamakan Program Inklusif dimana ia terbahagi kepada 2 iaitu:


                          1.   INKLUSIF SEPENUH MASA

                            -  Murid mengikuti pembelajaran di kelas biasa seperti murid biasa
                            -  Senarai nama kekal dalam daftar Pendidikan Khas
                            -  Guru kelas biasa boleh merujuk kepada guru di Pendidikan Khas
                               (guru pendamping) sekiranya terdapat sebarang masalah dari segi
                               pembelajaran mahupun tingkahlaku
                            -  Mereka juga diberi peluang untuk menduduki peperiksaan seperti
                               UPSR/PMR/SPM dan sebagainya


                           2.    INKLUSIF SEPARA

                              -  Murid mengikuti pembelajaran di kelas biasa untuk matapelajaran
                                  tertentu sahaja
                              -  Waktu yang selebihnya mereka mengikuti kelas khas
                              -  Senarai nama murid pada daftar Pendidikan Khas
                              -  Guru Pendidikan Khas terlibat sebagai pembimbing atau guru
                                  pendamping
                              -  Mengambil ujian matapelajaran terlibat, sama seperti murid biasa



Program ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada anak-anak yang dikategorikan di bawah Masalah Pembelajaran tetapi mempunyai kebolehan di bidang akademik bersaing dengan rakan-rakan di aliran perdana. Hak mereka tidak dinafikan malahan mereka diberikan pendedahan peringkat awal lagi dengan rakan sebaya supaya dapat membentuk insan yang berdikari serta berkeyakinan diri.


Program ini masih banyak lagi yang perlu dibuat penambahbaikkan supaya potensi anak-anak autisme lebih terserlah terutamanya dengan kerjasama guru-guru dan rakan-rakan di aliran perdana.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...