A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Wednesday, June 17, 2015

Selamat Berpuasa...



Assalamualaikum semua....



Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadah puasa kali ini. Jom kita ambil peluang bersama-sama mencari rahmat, berkat dan keampunan-Nya.....InshaAllah

Tuesday, June 16, 2015

Ukhwah...


Lidi kalau sebatang pasti mudah patah atau dipatah-patahkan. Tapi apabila lidi telah menjadi seberkas, ia menjadi lebih kukuh dan boleh dibuat penyapu. Kehidupan kita juga begitu. Kita disarankan hidup dalam berjemaah. Bersama-sama, tolong menolong dalam membuat kebaikan, membantu ketika sesiapa dari kita berada dalam kesusahan.


Lidi bila diberkas, menjadi penyapu yang banyak kegunaannya...

Keluarga yang mempunyai anak istimewa, kekadang disisih oleh masyarakat. Mereka dipandang serong disebabkan kelainan yang ada pada si anak. Pandangan yang seumpamanya membuatkan ibubapa anak istimewa, enggan bercampur gaul dengan masyarakat kerana sakit hati atau malu atas kekurangan yang ada pada si anak.

Sekarang, internet mudah diperolehi, smartphone hampir semua kita memilikinya. Kita boleh berhubung antara satu sama lain dengan mudah. Cari kawan-kawan 'sekasut'. Kita buat perjumpaan. Kita adakan aktiviti bermanfaat. Kita bertukar-tukar fikiran. Jiwa kita lebih tenteram apabila bertemu dengan mereka yang memahami keadaan kita.

Beginilah keadaannya apabila kita bersama-sama menghadapi susah dan senang. Muka sentiasa senyum. Bila berpisah, rasa payah. Rindu merindui sesama kita. Anak-anak mendapat kawan, yang tipikal mahu pun yang istimewa bersama bermain. Belajar menerima kekurangan dan kelebihan yang ada. Sesungguhnya kita semua tiada yang sempurna. Pasti ada cacat celanya di sana sini. Kita saling ingat memperingati.


















Beginilah sekitar majlis BBQ Persatuan Sahabat Faqeh Terengganu yang berlangsung baru-baru ini pada tanggal 13hb June 2015 bersamaan hari Sabtu jam 2.30pm - 5.30pm. Alhamdulillah semakin ramai yang join persatuan ini, semakin meriah dan jelas keakraban yang terhasil.

Saya sekadar mengusulkan kepada ibubapa yang mempunyai anak istimewa, bersatulah demi anak-anak kita. Suara kita akan lebih didengari apabila kita bersatu. Kalau bukan kita, siapa lagi yang hendak memperjuangkan hak anak-anak kita?

Semoga ukhwah kami di Persatuan Sahabat Faqeh Terengganu berpanjangan....aamiin

Thursday, June 4, 2015

Rindu Kampung Halaman Ku....



Bila berpeluang balik ke kampung sekali sekala....gunakan masa sepenuhnya dengan aktiviti bermakna. Cari teman, cari saudara, cari makanan juga bagi melepaskan rindu dendam. Melihat-lihat Bandar Kuala Kangsar yang indah landskapnya, jam besar masih berdiri utuh.


Mengunjungi Apak yang telah pergi, menjadi perkara wajib. Rindu pada kenangan ketika dia masih ada. Walaupun telah 2 tahun Apak di sana, menjenguk pusaranya menjadi kepuasan bagi ku. Biar pun Apak makin jauh meninggalkan kami, doa tak putus-putus dikirim. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya...aamiin.


Menjenguk mereka yang mendahului...tanda ingatan
pada diri sendiri juga

Pada Mak yang bersendirian di kampung, kunjungan anak cucu memang ditunggu-tunggu. Kegembiraan di hati terpancar dari riak wajahnya. Menghitung masa yang kian tiba, kesunyian melanda apabila teman hidup mendahuluinya. Namun tasbih sentiasa di tangan, redha dengan setiap kententuan-Nya. Kematian tidak dapat dielak, sama ada yang tua mahu pun yang muda. Apakah persediaan yang akan dibawa ke sana nanti sudah mencukupi?


Opah yang semakin meniti usia...80an

Ronda-ronda kawasan, lebih kepada mengikut kehendak anak yang sedang bercuti sekarang. Kali ini Syahmi telah berubah minat. Tidak lagi sibuk untuk berkunjung ke Zoo Taiping. Dimintanya mengunjungi Muzium Taiping, Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan lain-lainnya. Bila dah berada di Tingkatan 1, subjek Sejarah memonopoli mindanya. Hari-hari asyik berkongsi cerita tentang sejarah.


Tapak Warisan Dunia UNESCO

Rangka asal 'Manusia Perak'....Galeri Arkeologi Lembah Lenggong
Rangka asal  manusia zaman neolitik....Galeri Arkeologi Lembah Lenggong

Keretapi lama yang dipamerkan di Muzium Perak, Taiping

Orang asli tidak berpakaian selengkap kita sekarang....Muzium Perak, Taiping

Adat persandingan Melayu lama...Muzium Perak, Taiping

Makan-makan juga penting, makan untuk hidup. Makanan kesukaan ramai di Taiping tentunya Yong Tau Foo. Fresh dengan sayur kang kung yang biasa kita lihat di tali-tali air, sotong spring, fish ball, fish kek dan bermacam-macam lagi digaul bersama kuahnya yang lazat. Masyarakat berbilang kaum, jadi orang kita kena expert juga menghasilkan makanan bangsa lain. Sebagaimana orang Cina makan nasi berulamkan petai colek belacan...hihihi


Sotong Spring dan Kang Kung bergayutan....meleleh air liur teman weh

Yong Tau Foo Taiping....cun rasanya 

Kuala Kangsar pula terkenal dengan Laksa Kualenya. Banyak tempat menyediakan menu laksa sebenarnya. Tapi rasanya agak berbeza sedikit antara satu sama lain, lain orang lain pula citarasanya. Laksa Pak Ngah, Laksa Pokok Limau, Laksa Lubok Merbau dan pelbagai lagi pilihan. Kebiasaannya Laksa Kuale dipadukan dengan cendol atau ABC, baru ngam kombinasinya.


Balik Kuale....jangan lupa singgah sebentar untuk mendapatkan
Laksa Kuale.....

Laksa Kuale berbeza dengan Laksa Penang....

Beberapa hari di kampung memang menyeronokkan. Menyaksikan tempat bermain dengan kawan-kawan zaman kanak-kanak ku dahulu. Rumah-rumah kampung yang tinggal, kebanyakkannya udah usang kerana tiada berpenghuni. Masing-masing ke kota mencari rezeki, sementara ibubapa telah pergi menghadap Ilahi.

Di belakang, rumah kawan sepermainan ku ketika di sekolah rendah,
berkumpul kami petang-petang di sana bermain masak-masak dll


Putaran masa tidak dapat kita hindarkan. Hargailah segala yang kita ada, supaya tiada sesalan di kemudian hari. Mak akan ku tinggalkan di kampung di bawah jagaan kekanda ku yang lain. Duduk merantau jauh dari keluarga di kampung memang menguji.


Semoga Allah memberi kelapangan buat kami sekeluarga menjenguk mak di kampung. InshaAllah lain kali kita jumpa lagi mak.....

Sunday, May 24, 2015

Tersentuh Hati Sebenarnya....



Selamat Hari Lahir....

Bagaimana hati tak tersentuh? Baru setahun jagung usia Sahabat Faqeh Terengganu. Berjuang dalam kumpulan kecil, demi anak istimewa masing-masing. Dulu kami tidak saling mengenali. Namun, kewujudan SFT telah melahirkan keakraban dalam berjemaah.


Terima kasih atas ingatan adik-adik Sahabat Faqeh Terengganu sempena hari lahir ku yang ke 49 pada 15hb Mei yang lalu. Kek coklat 'Happy Birthday Mamarazzi' menjadi kejutan yang menyentuh hati. Dalam usia yang menghampiri separuh abad ni, sambutan hari lahir menjadi perkara terakhir yang ku fikirkan. Alhamdulillah, ada sahabat-sahabat yang memperingatinya.


Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa ku. Kau berilah peluang untuk aku memperbetulkan kesilapan dulu. Kurniakan ku taufik dan hidayah. Terima kasih kerana telah mengurniakan saudara mara yang 'sekasut' dengan ku ketika kami tercari-cari ilmu dalam  mendidik anak istimewa. Kak Long sayang kamu semua sahabat-sahabat....


Berkongsi hari lahir dengan Farah.....





Monday, May 18, 2015

Hadiah Untuk Cikgu......



Hadiah Syahmi untuk Cikgu Wan Normah (Guru Kelasnya)....


Sambutan Hari Guru kali ini Syahmi telah melangkahkan kaki ke Tingkatan 1. Tiada lagi dikelilingi guru-guru Pendidikan Khas yang lebih arif tentang keperluan anak istimewa. Syahmi berada di sekolah biasa sepenuhnya. Guru-guru biasa, yang tidak tahu menahu tentang anak-anak berkeperluan khas sepertinya.


Ibu dan ayah doakan kamu mendapat guru-guru yang boleh bertolak ansur dengan kekurangan kamu. Semoga terbuka hati cikgu-cikgu kamu untuk mengasihani pelajarnya yang ini seikhlasnya.


Kepada Cikgu Wan Normah binti Wan Mahmud yang merupakan guru kelas Syahmi sekarang di Sek. Men. Keb (A) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, tiada sesuatu yang dapat membalas jasa cikgu dalam melayan 'kerenah' anak saya sepanjang berada di bawah jagaan cikgu. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya...Selamat Hari Guru.



Saturday, May 9, 2015

Seketika Jadi Tentera...



Karnival Unisza Universiti Komuniti di Kampus Gong Badak kelmarin menyaksikan deretan booth dari agensi-agensi kerajaan, NGO dan sebagainya. Dalam banyak-banyak booth berkenaan, Persatuan Sahabat Faqeh Terengganu juga mencelah di sana memandangkan PSFT bergerak di bawah IDAMAN (Institut Darul Iman) iaitu organisasi yang digerakkan oleh Unisza bagi manfaat kerajaan negeri Terengganu Darul Iman.


Dipendekkan cerita, Syahmi 'melawat kawasan' karnival di hari ke 2 dengan rasa boringnya. Tiada gadget, tiada sesuatu yang menarik perhatiannya. Matahari terik menyebabkan segalanya tidak 'kena' pada awalnya. Namun, sesuatu di luar jangkaan berlaku apabila Syahmi melalui booth Pasukan Gerakan Am (PGA). Mula-mulanya malu, tapi tangan dah 'gatal-gatal' untuk merasai sendiri pengalaman memegang senjata. Saksikanlah sendiri.....











Muka mencuka, kini berubah manis umpama gula. Semua bahagian diteroka. Pada mulanya sahaja nampak malu, akhirnya tergugat jua imannya. Rasa malu letak ke tepi. Beranikan diri umpama perwira untuk mengangkat senjata.


Siapa sangka? Dia juga berminat dengan bidang ini. Sekurang-kurangnya berjaya juga kami mengalihkan perhatiannya dari gadget buat seketika. Berbaloi-baloi sejam menjadi tentera...hihihi


Sunday, May 3, 2015

Jom Mandi Sungai...



Bunyi deruan air yang mengalir di celahan batu....menyamankan

Hutan Lipur Sekayu di Kuala Berang, Terengganu penuh dengan kontroversi. Kisah remaja meninggal dunia akibat lemas setelah terjatuh ke dalam air suatu ketika dulu membuatkan hutan lipur ini sunyi sepi seketika dari dikunjungi orang ramai.


Cuaca panas kini seolah-olah ada kuasa magnet yang  menarik kami untuk ke sana. Mencari kesejukan air semulajadi bagi membasahi badan. Bunyi deruan air di sana amat melegakan. Sedangkan air paip di rumah sudah tidak sesejuk dulu.


Sukanya dia bermain air....

3 beranak....Syahmi, Syawal dan ayah...
Sahabat juga abang kandungnya...

Ketika mula berada di kaki bukit kawasan hutan lipur ini, saya terserempak dengan seorang ibu yang sedang sibuk melayan kerenah anaknya yang agak menarik perhatian saya. Sebagai ibubapa yang mempunyai anak autisme, pasti boleh menghidu 'kelainan' yang sama pada anak autisme yang lain, lantas saya bertanya "Anak puan autisme ke". Ibu berkenaan tersenyum lalu saya katakan padanya "Saya pun ada seorang". Saya hanya sempat mengambil gambar dan bertanya pada si ibu, "Siapa namanya?". Lalu si ibu berkata, "Naim".


Naim...juga anak istimewa autisme

Beberapa jam di sana, setelah puas mandi kami makan bekalan serba sederhana yang dibawa. Lalu berkemas untuk balik ke rumah sebelum azan zohor. Seronok bermandi manda, hingga masing-masing keletihan ketika dalam perjalanan balik. Di dalam kereta si abang lena berdengkur, sementara Syahmi masih lagi bertahan dengan tabletnya, sesekali terdengar tawa kecilnya melayan aplikasi kegemaran.....







LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...