A GIFT FROM HEAVEN

MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF

A GIFT FROM HEAVEN

YOU ARE NOT ALONE......

A GIFT FROM HEAVEN

FAMILY OF FOUR

A GIFT FROM HEAVEN

AUTISM BOLEH


اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Tuesday, December 13, 2016

IB Oh IB...





International Baccalaureate atau IB program mula diperkenalkan ke beberapa buah sekolah di Malaysia. Program ini berasal dari Geneva, Switzerland. Dikendalikan oleh International Baccalaureate Organisation (IBO) yang juga sebuah badan bukan kerajaan yang beribu pejabat di sana. Namun, peperiksaan dan kurikulum IB  diuruskan oleh pejabatnya di Cardiff, United Kingdom. Singapura merupakan ibu pejabat IB kawasan Asia Pasifik.

Program ini bertujuan untuk menyediakan pelajar bagi menghadapi cabaran abad ke 21. Melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif serta berkemampuan untuk menyelesaikan masalah, berfikiran kritikal, terbuka dan global.

Projek rintis di negara kita telah mencalonkan 10 buah sekolah untuk diperkenalkan kepada program IB termasuk Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak, Kolej Tunku Kurshiah, N.Sembilan,  SMK Sungai Tapang di Sarawak, SMK Seri Tualang, Pahang, SMK (A) SHEIKH ABDUL MALEK, TERENGGANU (sekolah anak istimewa kami belajar), SMK Sultanah Bahiyah, Kedah, SMK Pantai, W.P Labuan, SMK Muhamad Faris Petra, Kelantan, SMK Putrajaya Persint 9, W.P Putrajaya, dan SMK Dato Sheikh Ahmad, Perlis. Middle Years Programme dipilih dimana melibatkan pelajar berusia 13-17 tahun. Kaedah IB ini diambil namun masih mengekalkan kurikulum dan peperiksaan awam Malaysia.

Bagi mendapatkan pengiktirafan sekolah IB, tentulah memerlukan kerja kuat guru-guru juga para pelajar. Namun, kami sebagai ibubapa kepada anak istimewa yang belajar di sekolah calon program IB ini, risau amat rasanya kerana khuatir dengan emosi si anak bila berhadapan dengan bebanan pembelajarannya yang melampau. Autisme tidak sama dengan masalah OKU yang lain. Autisme bersangkut-paut dengan masalah menguruskan emosi. Adakah Syahmi merupakan satu-satunya pelajar istimewa autisme dalam program ini?

Saya pun sebenarnya kurang arif tentang program IB ini secara menyeluruh. Saya masih lagi dalam fasa 'tunggu dan lihat' bagaimana penyesuaian si anak terhadap kerja-kerja sekolahnya. Bukan mudah jadi pelajar rintis bagi program ini. tambahan pula 'dia' pelajar istimewa. Mungkinkah menjadi keperluan untuk Syahmi berpindah ke sekolah lain? Atau, bersangka baik terhadap ketentuan Allah ini, mungkinkah program ini menjadi sinar untuk masa depan Syahmi...

IB Oh IB, memang kamu bikin aku tidak nyenyak tidur mengenangkannya.....

  

Tuesday, December 6, 2016

Gadget Menyebabkan Autisme???





Jika ada yang berkata, AUTISME TERJADI AKIBAT DARI KETAGIHAN GADGET, salah besar kenyataan tu. Mungkin saya bukan doktor atau seseorang yang terlibat dalam dunia perubatan. Tapi, kami sebagai ibubapa kepada anak istimewa ini,  menyangkal sama sekali tentang pernyataan tersebut.

Sebenarnya autisme itu dibawa dari dalam perut ibu lagi. Lahirnya dia, sudah ada sesuatu yang menimbulkan kesangsian tentang keadaan perkembangan si anak. Cuma di saat itu, si ibu/bapa seperti kami tidak mempunyai pengetahuan tentang simptom-simptom autisme. Mahupun rasa 'denial' terhadap kekurangan yang ada pada perkembangan si anak jika dibandingkan dengan bayi-bayi yang seusia dengannya.


Warna warni Autisme

Semenjak lahir lagi anak saya tidak suka didakap. Tidurnya asyik terganggu dengan bunyi-bunyi tertentu walau bayi lain boleh tidur dengan selambanya. Tidak mahu bersosial, malah lebih suka bersendirian bermain dengan objek-objek pelik seperti menyusun botol air minuman dan sebagainya. Mungkin anak orang lain di ketika itu telah bermain dengan toys yang pelbagai. Namun anak saya hanya mampu memusing tayar-tayar kereta mainannya.


Kotak-kotak minuman disusun menjadi permainannya.....
ketika ini usianya 3 tahun

Gadget datang kemudian dalam kehidupan anak saya. Kalau tak silap saya, ketika usianya 4-5 tahun. Namun, saya mengakui ketaksuban terhadap GADGET boleh MENGHADKAN perkembangan positif anak-anak autisme. Perkembangan sosialnya terbantut, kerana terlampau menghadap gadget. Komunikasi dengan persekitaran menjadi kaku. Mereka kelihatannya lebih suka menyendiri.


Wow!

Oleh sebab itu, ramai yang membuat kenyataan bahawa pengaruh gadget yang berlebihan menjadi faktor yang menyebabkan seseorang individu itu mengalami autisme. Sedangkan hakikatnya, autisme sebenarnya wujud semenjak mereka dilahirkan lagi.

Walau kami bukan sesiapa, sebagai ibubapa yang berpengalaman mendidik insan istimewa ini, maka itulah pendapat yang lebih tepat rasanya. Bukan bermakna saya bersetuju anak-anak autisme ini 'dijamu' dengan beraneka gadget. Sebaik-baiknya ketaksuban terhadap gadget ini diminimakan, supaya mereka boleh berada dalam masyarakat dan mampu bersosial sebagaimana insan-insan lain....InshaAllah




Sunday, November 20, 2016

Outing...2 Al Tirmizi 2016



Pantai Kuala Ibai

Syahmi dan rakan sekelas pergi outing kelmarin. Lokasi di Lagoon Kuala Ibai.  Jam 9.00am sampai di lokasi. Kawan-kawan pun dah ramai yang menunggu. Saya tinggalkan dia dengan kawan-kawannya. Mencari breakfast dulu, kemudian misi mengintai-intai anak-anak remaja ini berkumpul dan bermesra. Maklumlah cuti sekolah tinggal seminggu lagi. Tahun hadapan, mereka belum tentu sekelas.


Alhamdulillah...bagus tertib pergaulan. Pandai jaga diri, yang muslimin bersama-sama, sementara yang muslimat setempat. Tiada adegan 'bekejar-kejaran' antara lelaki dan perempuan. Cukup melegakan walau tiada yang dewasa memantau.


Muslimat

Bila didekati, mereka menerima kita, ibubapa Syahmi dengan ramah. Sempat berbual sambil memberi pemahaman lebih kepada mereka tentang masalah autisme. Sebelum ini tiada kesempatan saya untuk bermesra dengan kawan-kawan sekelas Syahmi. Kesempatan ini yang saya tunggu-tunggu, biar pun telah berada di penghujung tahun. Semoga  mereka memahami dan mendapat sedikit sebanyak info tentang autisme.

Nampaknya Syahmi dah boleh bergaul. walau kadang-kadang terserlah juga perilaku 'istimewa'nya. Ibu dan ayah bersyukur amat dengan perkembangan ini. Kesan dirinya yang didedah bersama kawan-kawan yang tipikal telah menampakkan Syahmi mampu berbual dengan kawan, bermain dan sebagainya. Kipidup Syahmi...

Tinggal seminggu lagi mereka bersekolah di Tingkatan 2. Tahun depan mereka akan menghadapi PT3. Ramai yang kata, "Apa dikejar 'straight A's?". Tapi sebagai ibubapa kepada anak istimewa, serba salah dibuatnya apabila si anak belajar bersama-sama kawan-kawan yang tipikal. Semestinya pencapaian akademik juga dapat membakar semangatnya, sedangkan pengurusan diri belum benar-benar selesai. Kedua-duanya harus diseimbangi.

Aksi santai mereka....

"Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran".  Semoga Allah lindungi Syahmi, kurniakan kekuatan buat  anak kami menghadapi cabaran mendatang. Temukanlah dia dengan kawan-kawan, guru-guru yang memahami kekurangan yang ada pada dirinya. Permudahkanlah urusannya...aamiin







Friday, November 18, 2016

Azami Budak Kacamata Memperoleh 6A UPSR 2016



Azami Budak Kacamata

Memang dijangka, dia seorang yang bijak. Bila berada bersamanya, penuh dengan soalan-soalan 'maut'. Kekadang tak terjawab oleh kita yang jauh berusia darinya. Penampilan serius, eye contact masih lemah, muka selamba yang langsung tidak menunjukkan sebarang emosi sama ada suka, sedih dan sebagainya.


Azami Menjadi Imam Ketika Solat Dhuha Dalam Perjumpaan Mingguan
Sahabat Faqeh Terengganu 

Pertama kali bertemu dengannya dalam perjumpaan mingguan Sahabat Faqeh Terengganu suatu ketika dulu, saya tidak nampak kemesraan di wajahnya. Lama kelamaan dia boleh menerima kehadiran kita walau raut wajah masih serupa. Serius, namun mahu bersoal jawab dengan kita. Maknanya ada interaksi dua hala walau emosi tidak menunjukkan apa-apa. Selamba...

Alhamdulillah...kelmarin saya mendapat berita dari ibunya, Azami Budak Kacamata telah mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR 2016. Riuh rendah masyarakat mempertikaikan format baru UPSR yang telah banyak memerangkap pelajar hingga ramai yang gagal memperolehi keputusan terbaik, Azami satu-satunya calon UPSR di sekolahnya yang memperolehi 6A.

Tahniah, tahniah pada ibubapanya yang tidak pernah jemu membantu si anak. Kejayaan ini bukan datang dengan bergolek. Banyak duka dan airmata mendahului kejayaan ini. Dengar khabarnya, Azami juga akan memhon masuk ke sekolah Abang Syahmi, Sek Men Keb (A) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Mungkin ini merupakan jalan terbaik memandangkan guru-guru di sana telah pun terdedah kepada 2 pelajar autisme terdahulu, Abang Syahmi dan Abang Ahmad Danial walau karakter masing-masing sedikit berbeza.

Namun, jangan pernah kita berkata, autisme yang bijak seperti Azami Budak Kacamata ini telah 'sembuh' sepenuhnya dari simptom-simptom autismenya. Salah persepsi yang sedemikian kerana autisme merupakan masalah seumur hidup seseorang. Kita hanya mampu meminimakan sahaja permasalahan mereka bukan menyembuhkannya 100 peratus.

Perjalanan hidup mereka penuh dengan duri ranjau sebenarnya. Penerimaan kawan-kawan sepersekolahan, guru-guru di sekolah menengah nanti, semuanya akan menjadi halangan bagi mereka untuk menyesuaikan diri. Walau bagaimana pun, sebagai ibubapa kita tidak harus berputus asa. Selagi terdaya, kita bantu mereka supaya dapat hidup berdikari sebagai persediaan bila kita telah tiada nanti. InshaAllah....


Abang Syahmi bersama Azami Budak Kacamata


Friday, November 11, 2016

Senyap Sat...



Senyap!

Minggu depan Syahmi akan menghadapi final exam for 2016. Penting sangat exam kali ni untuk menentukan kedudukan kelasnya di Tingkatan 3 nanti. 2017 Syahmi akan menghadapi PT3. Kedudukan kelas yang baik dengan kehadiran rakan-rakan yang baik juga akan mempengaruhi rentak pembelajarannya bagi menghadapi PT3 tahun hadapan.

Semoga dipermudahkan cabaran kali ini. Ibu akan sentiasa menjadi 'guru' dan 'teman' mu di musim-musim peperiksaan ini. Kena buat yang terbaik. Jom kita pulun...

Thursday, October 20, 2016

Redha ke Oscar...




Filem Redha akhirnya ke Anugerah Oscar sebagai calon dalam kategori Best Foreign Language Film,
Feb tahun depan. Tahniah kepada produksi filem tersebut, terutama kepada Pengarahnya,
 YM Tunku Mona Riza dan seluruh yang menjayakan filem ini.
Kerja keras anda semua berbaloi-baloi.

Filem Redha akhirnya dicalonkan ke Anugerah Oscar mewakili negara kita tahun hadapan kategori Best Foreign Language Film. Bukan senang sesebuah filem untuk dipertandingkan di sana. Sebelum ini hanya beberapa filem terbaik sahaja yang pernah terpilih hingga ke peringkat ini seperti Puteri Gunung Ledang dan Bunohan.

Mendapat pencalonan sahaja telah membuatkan kami semua bangga, sesungguhnya Redha telah menyemarakkan lagi kesedaran autisme di negara kita.

Selamat berjaya....

Tuesday, October 11, 2016

Bukan Saudagar Minyak Angin



Post kali ini bukan bertujuan untuk menjual produk. Hanya berkongsi informasi tentang mereka yang berada dalam kategori autisme ini dikhabarkan sering mengalami masalah kembung perut/perut berangin. Ada pihak yang mengaitkan permasalahan ini berlaku disebabkan oleh faktor 'leaky gut'.

Syahmi amat sensitif dengan pemakanan berasaskan produk tenusu mahupun gandum. Reaksinya, masalah kembung perut/perut berangin. Dari usia setahun lagi, kami ibubapanya memerhatikan perkembangan ini. Jadi, kami terpaksa mencari minyak angin yang serasi dengannya untuk membantu mengeluarkan angin dalam badan secara alami.

Zaman bayinya, Syahmi sangat serasi dengan Minyak Herba keluaran sebuah jenama terkenal. Bertahun juga menjadi pengguna produk tersebut. Harganya boleh tahan mahalnya. Namun bila di usia persekolahan saya bertemu produk baru yang lebih mampu dibeli iaitu produk tempatan dari Terengganu, Minyak Akar Kayu (Minyak Pak Ali) keluaran Mak Wan.


Keserasian hingga kini...(harga hanya RM7 sebotol)

Terbongkarlah rahsia yang terpendam sekian lama, Syahmi akan membawa botol kecil minyak ini setiap hari ke sekolah bagi menangani masalah kembung perut/perut berangin (bila perlu). Sebelum ke sekolah, Syahmi akan memastikan minyak di sapu di bahagian perutnya. Di rumah pula, kami memastikan ada sebotol untuk kegunaan harian. Begitu juga ketika perjalanan jauh, balik kampung umpamanya. minyak ini mesti dibawa sekali.

Ketika usianya 8-10 tahun, sering ditertawakan kawan dalam kelas
kerana masalah membuang angin

Kebelakangan ini juga kami turut menyapu dan mengurut ke bahagian betisnya dengan minyak ini supaya dapat mengurangkan masalah kekejangan otot betis terutama ketika musim hujan (sejuk). Masalah tapak kaki rata Syahmi menyebabkan dia kerap mengadu kekejangan di bahagian betis.

Tiap individu autisme tidak betul-betul sama permasalahannya. Perhatikan anak autisme kita supaya dapat membantu mengurangkan masalah mereka dari awal. Jika permakanan tertentu sering menyebabkan mereka kurang selesa seperti kembung perut/perut berangin, maka cubalah mengurangkan pengambilannya. Gantikan dengan sumber yang lain namun masih mengandungi khasiat yang serupa.

Carilah produk yang serasi, tidak semestinya yang mahal sahaja dapat menyelesaikan masalah. Produk ini hanya digunakan untuk kegunaan luaran sahaja. Alhamdullilah sangat membantu Syahmi. Wallahualam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...