Permainan dulu-dulu...Jan Jan Jala Itik |
Permainan ini tidak bermodalkan wang ringgit. Bermain di halaman rumah, beraktiviti sambil bernyanyi. Seramai mana pun boleh menyertai permainan ini. Dua orang berdiri berhadapan sambil berpegang tangan, diangkat tangan yang berpegangan tadi ke atas (bertindak sebagai perangkap). Sementara kawan-kawan yang lain beratur melalui 'perangkap' sambil bersama-sama menyanyikan lagu yang agak lucu liriknya. Seterusnya apabila lagu habis dinyanyikan, sesiapa yang sedang melalui 'perangkap' tersebut akan 'ditangkap'.
Namun permainan ini boleh dipelbagai carakan. Bagaimana cara sekali pun ianya dimainkan, tujuan utama ialah untuk melatih anak-anak bermain mengikut giliran dan bertolak ansur antara satu sama lain.
Bercerita tentang permainan ini juga, di sini ingin saya kongsikan lirik lagu tradisi yang digunakan bagi mengiringinya. Bagi masyarakat pantai barat seperti di negeri Perak, nyanyian yang biasa dilagukan mengiringi permainan ini adalah seperti berikut liriknya :
"Jan Jan jala Itik, Jala Ayam
Berapa lubang kancil
Seratus Lima Puluh
Singgah Dayang Singgah
Makan Sirih mulut merah"
Namun dikhabarkan bahawa masyarakat pantai timur menyanyikan lagu 'Wau Wau Pepeh' untuk permainan ini. Perlu diingatkan bahawa, 'Wau Wau Pepeh' merupakan lagu daerah masyarakat di negeri Pahang. Tidak hairanlah ianya dinyanyikan juga oleh masyarakat di Terengganu memandang kedua negeri ini terletak bersempadan. Beginilah liriknya lagu 'Wau Wau Pepeh'
"Wau wau pepeh
Wau pepeh hujung galah
Masuk keluar masuk
Hulubalang buka pintu
Cak la lok la lok
Cak la lok la lok"
Inilah yang dikatakan, lain padang lain belalangnya. Perbezaan yang begini melahirkan warna-warni dalam masyarakat. Cuma apabila sudah tidak dilagukan, maka dikhuatiri suatu ketika nanti ianya lenyap ditelan arus pemodenan.
Orang dulu tiada kemampuan untuk mendapatkan permainan canggih sebagaimana generasi sekarang. Kemampuan kewangan agak terhad. Penawaran juga terhad. Berbanggalah dengan kreativiti mereka generasi 50an, 60an. Mereka mampu menggunakan apa yang di sekitaran, tanpa meminta-minta ibubapa untuk dibelikan itu dan ini. Mereka lebih kreatif dan mampu 'hidup' walau di mana mereka tercampak.
Wallahualam.
0 comments:
Post a Comment