اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Tuesday, June 14, 2016

Menghargai Dan Dihargai



Menghargai seseorang yang banyak 'membuka mata' masyarakat
Malaysia tentang autisme melalui karya filemnya REDHA
-YM Tunku Mona Riza-

Sepasang uniform sekolah tadika berwarna pink dan merah, sangat berharga bagi kami sekeluarga sebagai kenangan ketika Syahmi mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Akhirnya ia tersimpan sahaja di almari, apabila ianya dibasahi airmata ibu dan anak apabila dikhabarkan oleh pihak sekolah tadika tersebut bahawa Syahmi tidak layak untuk bersekolah di sana disebabkan beberapa 'kelainan' yang ada padanya ketika itu.

Sempat juga Syahmi memakainya selama seminggu, dan akhirnya uniform tersebut tidak dipakai lagi kerana kami terpaksa mencari laluan pendidikan yang berbeza buat Syahmi setelah disahkan dia seorang anak istimewa oleh pihak yang berkepakaran. Selamat tinggal uniform pink dan merah.

Simptom autisme yang tidak begitu ketara serta kedangkalan ibubapa tentang permasalahan autisme menyebabkan kami lambat sedar bahawa Syahmi tergolong dalam golongan ini, sehinggalah pihak sekolah tadika berkenaan yang mengejutkan kami dari tidur lena.

Walau pedih, walau bercawan airmata tumpah, itulah titik tolaknya anak ini mula mendapatkan intervensi dari pihak berkaitan juga peranan ibubapanya di rumah dalam menangani kelemahannya sebagai penghidap autisme.

Sebagai MENGHARGAI penat lelah Puan Pengarah Filem REDHA YM Tunku Mona Riza bersempena tayangan filemnya di TGV Mesra Mall, Kerteh, April lalu, ibu mengideakan cenderamata ini sebagai penghargaan terhadap usaha beliau dalam menghasilkan filem yang sangat bermutu. Filem mengisahkan kehidupan keluarga yang berada di dalam konflik setelah mengetahui tentang anak mereka mengalami autisme. Olahan terbaik seorang sutradara tentang cabaran dalam diri sendiri, ahli keluarga juga masyarakat sekeliling yang terpaksa dihadapi oleh sesebuah keluarga setelah mengetahui si anak menghidap autisme.

Sedikit sebanyak, jalan cerita filem berkenaan sama sebagaimana yang pernah saya lalui ketika awal 2007 dulu dimana ketika itu Syahmi berusia 5 tahun.

Hari ini, saya berasa amat DIHARGAI setelah menerima komen dari post di fb saya oleh Puan Pengarah Filem YM Tunku Mona Riza, tentang cenderamata kenangan tersebut. Tidak percaya? Tengok image di bawah..... sila baca komen pengarah filem berkenaan. Pastinya tiada kesalan walau uniform pink dan merah yang menjadi kesayangan dan penuh kenangan bagi kami sekeluarga telah bertukar tangan kepada beliau. Sesungguhnya ia lebih dihargai kini. Malam ni saya boleh tidur lena....hehehe


DIHARGAI....senyum hingga ke telinga rasanya

0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...