اللهم انت لهاولوعظمت فرجها بفضل بسم الله الرحمن الرحيم
Ya Allah! Engkau Jua BagiNya. Jikalau Ia Sukar, Lapangkanlah baginya dengan kelebihan بسم الله الرحمن الرحيم

Monday, April 18, 2016

Inklusif Penuh....



Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
sebagaimana rakan-rakan tipikal

INKLUSIF PENUH di sekolah biasa. Bagaimana keadaannya? Bersendirian melalui ranjau dan duri. Seorang pelajar berkeperluan khas, dikelilingi rakan tipikal dengan pembelajaran serta aktiviti persekolahan yang semakin mencabar. Seorang pelajar berkeperluan khas yang akan berhadapan dengan guru-guru biasa yang tidak terdedah dengan keperluan anak istimewa.

Kes-kes sebegini merupakan kes yang terpencil. Kes yang jarang-jarang berlaku menyebabkan ramai yang terlepas pandang. Anak-anak istimewa masalah pembelajaran yang boleh mengikuti pembelajaran sebagaimana pencapaian anak tipikal, akan diinklusifkan ke sekolah-sekolah biasa bersama anak tipikal yang lain.

Ramai ibubapa yang mendambakan anak-anak istimewa masing-masing belajar di aliran perdana. Namun jangan lupa, melangkah sahaja kaki si anak ke sekolah, ibuayah sentiasa berdebar dengan penerimaan masyarakat sekolah terhadap anak istimewa di sana.

Fahamkah guru dengan kehendak si anak istimewa tersebut?
Bolehkah mereka bertolak ansur dengan kekurangan yang ada padanya?
Tidakkah si anak menjadi bahan ejekan rakan-rakan tipikal yang lain?
Mampukah dia seiring dengan rakan-rakan yang lain dalam memenuhi tuntutan silibus pembelajaran yang semakin mendesak?

Bermacam-macam lagi persoalan yang timbul di kepala ibuayahnya. Berdoalah agar anak kita ditemukan dengan guru-guru hebat yang berjiwa 'emas' untuk membantu anak kita. Begitu juga rakan-rakan yang berada di sekelilingnya. Hadirkanlah insan-insan berhati mulia untuk membantu, melindungi serta menghargai kehadirannya.

Pada ibubapa di luar sana yang mempunyai anak istimewa, jangan terlalu bermimpi indah sekiranya si anak belum cukup mantap untuk bersaing dengan rakan-rakan tipikal di aliran perdana. Sebelum kita mengambil keputusan untuk menempatkan mereka di sana, haruslah memantapkan mereka dengan ilmu pengurusan diri juga kemahiran bersosial terlebih dahulu.

Ingat! Bukan bermakna jika si anak mampu menerima pembelajaran, secara automatik mereka layak untuk belajar di aliran perdana. Jangan korbankan jiwa mereka hanya kerana hendak mencapai matlamat kita untuk melihat si anak berada di aliran perdana. Buatlah pertimbangan sewajarnya......

Bukan menakut-nakutkan semua, sekadar berkongsi pengalaman yang ada. Wallahualam










0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...